PENAMPANG: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang menggesa Sabah Electricity membongkar dan memindahkan sub-stesen di Donggongon Square yang menjadi penyebab kepada limpahan air parit di projek lebuhraya Penampang.
Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic menggesa agar pemindahan tersebut dilakukan segera bagi mengelak ianya menjadi punca banjir di Donggongon.
“Berdasarkan penelitian saya, pembinaan saliran parit utama sepanjang projek lebuhraya Penampang sangat rancak tetapi terhalang kerana sub-stesen milik Sabah Electricity.
“Jika tidak dibongkar dan dipindahkan segera, sub-stesen ini boleh menjadi hambatan kepada aliran air parit kerana dua penghujung parit tidak dapat disambungkan. Ini boleh menyebabkan limpahan air dan banjir di Donggongon,” katanya.
Menurut Ebell, perkara tersebut telah dibawa kepada perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity semasa mesyuarat Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pelaksanaan Projek-Projek Rancangan Malaysia pada bulan Mei yang lepas tetapi belum ada tindakan diambil oleh Sabah Electricity.
“Pada hari ini, Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick turut membangkitkan perkara ini kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa tinjauan tanah runtuh di Penampang.
“Mewakili Pemuda UPKO Penampang dan rakyat Penampang, saya berharap Sabah Electricity mengambil langkah proaktif menyelesaiakan perkara ini dengan membongkar dan memindahkan sub-stesen ini,” katanya.-pr/BNN





