KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, menzahirkan rasa dukacita atas tragedi banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan 13 nyawa di beberapa daerah negeri ini baru-baru ini, sambil menggesa Kerajaan Persekutuan meluluskan segera peruntukan RM900 juta bagi projek tebatan banjir kritikal.
Menurutnya, angka korban itu melibatkan kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas, dengan antara lokasi terjejas teruk termasuk Kampung Cenderakasih di Kota Kinabalu yang merekodkan tujuh kematian, selain beberapa lagi di Papar dan Penampang.
“Kehilangan ini bukan sekadar angka, tetapi nyawa insan yang amat berharga – anak-anak kecil, ibu bapa, datuk dan nenek. Mereka adalah sebahagian daripada kita semua,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Antara mangsa terlibat ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kampung Marahang Tuntul, Papar, selain seorang lelaki berusia 97 tahun di Kampung Sarapung, Penampang.
Lebih memilukan, seorang pekerja Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) masih hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika menjalankan tugas di kawasan bencana.
“Beliau adalah lambang pengorbanan anak Sabah yang berbakti untuk memastikan kehidupan orang lain tidak terputus bekalan tenaga walaupun dalam keadaan bencana. Saya merakamkan doa agar keluarganya diberi ketabahan menanti kepulangannya,” ujar Dr. Jeffrey.
Mengulas langkah susulan, beliau berkata kerajaan negeri akan segera melaksanakan kerja pemulihan sistem saliran di kawasan terjejas serta mempercepatkan projek tebatan banjir yang sedang berjalan.
“Rakyat tidak boleh terus hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat turun. Kita mesti bertindak tegas bagi mengelakkan tragedi berulang,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan projek tebatan banjir jangka panjang, khususnya Pembangunan Lembangan Sungai Moyog Pakej 2A dan Pakej 4 di Penampang, yang disifatkan sebagai projek kritikal.
Katanya, projek itu sudah lama dirancang tetapi tidak mendapat kelulusan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
“Oleh itu, saya dengan penuh kesungguhan merayu kepada YAB Perdana Menteri agar meluluskan segera peruntukan kira-kira RM900 juta. Penyelesaian ini mampu melindungi nyawa, harta benda dan masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Dr. Jeffrey menegaskan, rakyat Sabah sudah terlalu lama menderita setiap kali berdepan bencana banjir.
“Kita tidak boleh lagi menunggu tragedi seterusnya. Nyawa rakyat mesti diutamakan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak penyelamat dan sukarelawan yang terus berkorban membantu mangsa di lapangan.-pr/BNN





