KENINGAU: Suasana penuh kekeluargaan mewarnai Kampung Sandapak, Bingkor apabila lebih 300 waris berkumpul dalam “Odhou Kotimungan Paganakan Sayat Aki Atam Singgon Toun 2025” (Hari Keluarga Aki Atam Singgon 2025) yang berlangsung meriah baru-baru ini.
Majlis tahunan itu bukan sekadar medan pertemuan keluarga besar Atam Singgon, malah menjadi pentas menghidupkan semula warisan Dusun Gana sebagai asas penyatuan masyarakat.
Antara yang hadir ialah tokoh masyarakat dan aktivis Keningau, Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub, yang menegaskan pentingnya institusi keluarga sebagai tiang seri komuniti.
“Hari keluarga ini bukan hanya untuk bergembira, tetapi peringatan bahawa persaudaraan adalah akar kekuatan masyarakat. Bila akar ini kuat, komuniti juga akan teguh,” katanya ketika beramah mesra bersama keluarga besar berkenaan.
Tahun ini, keluarga Mamai Gani Atam menjadi tuan rumah dengan menghimpunkan waris-waris dari tujuh keturunan utama: Rupiah, Ansumah, Mikat, Gani, Ayun, Asong dan Amih. Kehadiran mereka daripada pelbagai lapisan usia melambangkan kesinambungan hubungan kekeluargaan yang utuh.
Majlis turut diserikan dengan pembacaan kata hikmah leluhur: “Dari leluhur kita, dari tahun ke tahun, hati kita bersatu. Bila kasih dijaga, persaudaraan akan kekal selamanya.”
Bagi Mohd.Ishak, aktivisme masyarakat tidak hanya terhad kepada program rasmi, tetapi menuntut kehadiran dan penglibatan langsung di tengah komuniti.
“Dari keluarga lahir nilai hormat, kasih sayang dan gotong-royong — asas yang menjadi benteng masyarakat menghadapi cabaran moden,” ujarnya.
Beliau percaya perhimpunan keluarga seperti ini mampu menjadi wahana pendidikan tidak formal kepada generasi muda untuk memahami, menghargai serta mengamalkan nilai persaudaraan dalam kehidupan seharian.
“Odhou Kotimungan” bukan sekadar jambatan kenangan, tetapi wadah melatih generasi muda supaya memahami akar budaya dan adat, sekali gus memupuk semangat kebersamaan.
Di sebalik gelak tawa dan keriuhan pertemuan, terserlah mesej jelas yang dibawa oleh Mohd.Ishak — bahawa selagi akar keluarga dijaga, selagi itulah masyarakat akan terus kuat dan mampu menghadapi cabaran masa depan.-pr/BNN





