KENINGAU: Di sebalik cabaran hidup yang menghimpit segelintir rakyat, kehadiran pemimpin yang turun padang membawa sinar baharu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan di kawasan ini, semalam.

Program yang turut disertai Wiranita STAR N.41 itu disemarakkan lagi dengan kehadiran isteri beliau, YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, selaku Ketua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat (MUTIARA GRS) Liawan, diiringi pemimpin masyarakat termasuk Kapitan Anthony Chong Kong Ming dan Kapitan Misha Ho daripada komuniti Cina Liawan.

Kehadiran mereka mencerminkan semangat perpaduan merentasi bangsa dan agama, sekali gus memperkukuh mesej bahawa kesejahteraan masyarakat hanya mampu dicapai melalui kebersamaan.

Annuar berkata, usaha berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian bantuan material, tetapi lebih kepada menyulam kasih sayang serta perhatian kepada rakyat yang memerlukan.

“Inisiatif ini adalah tanda keprihatinan kita bersama. Ia bukan sekadar menghulur bantuan, tetapi membina jambatan hati, mendengar keluhan rakyat, dan berkongsi harapan,” katanya.

Menurut beliau, MUTIARA GRS dan jentera parti di Liawan akan terus menggiatkan program kebajikan serta mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Program itu juga memberi mesej jelas bahawa kebajikan rakyat tidak boleh dipinggirkan, malah menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan kawasan berkenaan.

Dengan semangat gotong-royong dan kepedulian yang ditunjukkan, Liawan dilihat terus menjadi tanah yang subur dengan nilai perpaduan, keberkatan serta harapan baharu untuk semua lapisan masyarakat.-pr/BNN