KENINGAU: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor mengadakan lawatan kerja ke Kampung Bandukan Baru bagi meninjau pelaksanaan beberapa projek pembangunan asas yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Lawatan berkenaan melibatkan tinjauan ke beberapa lokasi utama termasuk laluan jalan konkrit yang siap dibina, kawasan perumahan serta tapak kemudahan awam yang bakal digunakan penduduk kampung.
Projek berfokus kepada pembangunan infrastruktur asas itu diyakini mampu meningkatkan keselesaan, memperkukuh keselamatan serta menyokong kesejahteraan penduduk, selaras dengan agenda pembangunan luar bandar.
Lawatan tersebut diketuai Wakil Pejabat ADUN N.40 Bingkor, Puan Diana Basir bersama Pemaju Mukim Tuntumulud, Encik Fredoline Tad Abin, serta Penyelia Kemajuan Masyarakat N.40 Bingkor, Encik Mohd Zaki.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, menegaskan bahawa pembangunan luar bandar terus menjadi fokus utama kerajaan.
“Pembangunan luar bandar adalah keutamaan agar masyarakat menikmati prasarana asas yang selesa dan selamat. Setiap projek yang dilaksanakan adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat luar bandar tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan projek-projek tersebut bukan sahaja meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, malah mampu merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa.
“Komitmen berterusan dalam menyediakan kemudahan asas ini diharap dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memacu kemajuan desa ke arah yang lebih seimbang dan inklusif,” ujarnya.
Dengan adanya prasarana asas yang lebih baik, penduduk Kampung Bandukan Baru dijangka menikmati kehidupan harian yang lebih lancar, selamat dan produktif.-pr/BNN