KOTA KINABALU: Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Panglima (DSP) Hajiji Noor, bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).
Mesyuarat hampir dua jam itu turut dihadiri semua Presiden parti komponen serta Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun. Antara agenda utama adalah rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
Dalam perbincangan tersebut, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), DSP Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), DSP Yong Teck Lee, menyatakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing pada PRN-17, tanpa terikat dengan kuota agihan kerusi yang dimuktamadkan bersama PH.
Pengerusi GRS, DSP Hajiji Noor, menegaskan bahawa prinsip kesatuan perlu diutamakan dengan semua calon GRS bertanding di bawah satu lambang rasmi gabungan itu.
Mesyuarat kemudiannya memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk menggunakan lambang sendiri dianggap keluar daripada GRS dan tidak lagi mewakili gabungan dalam PRN-17.
Sehubungan itu, STAR dan SAPP secara rasmi tidak lagi menjadi anggota GRS selepas keputusan mereka untuk bertanding secara solo.
Bagaimanapun, kedua-dua Presiden parti tersebut menghormati pendirian komponen lain yang kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH.
Mesyuarat berlangsung dalam suasana muhibah dan berterus terang, dengan semua pimpinan akur terhadap keputusan yang dibuat secara musyawarah.
GRS menegaskan komitmen untuk memperkukuh strategi dan gerak kerja bagi memastikan kestabilan serta kesejahteraan negeri Sabah dalam menghadapi PRN-17.
Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Agung GRS.
-BNN