KENINGAU: Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), persoalan utama yang berlegar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan bukan sekadar siapa calon yang akan bertanding, tetapi sama ada rakyat benar-benar mahu menukar pemimpin ketika hasil kerja nyata sudah mula dituai.
Penyandang kerusi, Datuk Annuar Ayub Aman, tampil dengan rekod yang jelas – pembangunan infrastruktur, sokongan kesihatan, bantuan pendidikan hingga pengukuhan keusahawanan rakyat. Pendekatannya berbeza kerana bukan sekadar memberi bantuan sekali-sekala, sebaliknya membina ketahanan rakyat agar mampu berdikari.
“Berikan seseorang seekor ikan, dia kenyang sehari. Ajarkan dia memancing, dia kenyang seumur hidup,” pepatah lama ini menjadi falsafah politik Annuar di Liawan.
Di lapangan, hasil usaha itu kian dirasai. Golongan belia diberi ruang untuk berusaha, usahawan kecil mendapat sokongan, manakala penduduk luar bandar menikmati peningkatan akses jalan serta kemudahan asas.
Pendekatan ini meletakkan Annuar bukan sekadar pemimpin yang muncul pada musim pilihan raya, tetapi sentiasa hadir dalam denyut nadi masyarakat setiap waktu.
Meski begitu, lawan politik terus cuba mengetengahkan naratif baharu dengan janji besar dan slogan segar. Persoalannya, apakah rakyat masih mahu “menukar jurulatih” ketika mereka sudah mula pandai memancing sendiri hasil bimbingan yang ada?
Pemerhati politik tempatan menjangkakan Liawan akan kekal sebagai kubu sukar ditembusi, bukan hanya kerana jentera yang kuat, tetapi kerana pendekatan berasaskan tindakan nyata yang semakin meninggalkan kesan di hati rakyat.
Di ambang PRN17, mesejnya semakin jelas – rakyat Liawan tidak lagi haus dengan retorik. Mereka mahukan pemimpin yang terbukti mengajar mereka cara untuk terus hidup dan maju.
Dan di gelanggang ini, jawapannya semakin terserlah – Annuar bukan sekadar pemberi, beliau adalah pembina.-pr/BNN