KENINGAU: Orang ramai dijemput memanfaatkan peluang mendapatkan pelbagai maklumat serta perkhidmatan kesihatan sempena Mini Expo Kesihatan yang akan berlangsung pada Ahad ini, 5 Oktober 2025, bermula jam 8 pagi hingga 2 petang di Ruang Depan Bataras, Bandar Baharu Keningau.
Program anjuran Jabatan Pelayanan Kesihatan Daerah Keningau itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi memasak makanan sihat, hidroterapi, analisis kesihatan menggunakan sistem HAP, kaunseling kesihatan, urutan relaksasi, selain pameran buku berkaitan gaya hidup sihat.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Pastor Syeborn Bukah, Pastor Seventh-day Adventist (SDA) Daerah Keningau merangkap Penasihat Jabatan Pelayanan Kesihatan daerah berkenaan.
Program berkenaan diketuai Dr. Mark Collin Jim Galantas selaku pengerusi, manakala Sandy Anak Pelima bertindak sebagai penyelaras utama.
Menurut penganjur, expo itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup sihat serta menggalakkan langkah pencegahan penyakit melalui amalan pemakanan seimbang, pemeriksaan berkala dan pengurusan kesihatan kendiri.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 013-7505135 (Pr. Syeborn) atau 012-8727377 (Dr. Mark).-pr/BNN