PAPAR : A&W kini menghidupkan semula nostalgia makan secara ‘drive-in’ dengan pembukaan cawangan baharunya di Parklane City Benoni, yang juga merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah.

Pengarah Urusan Kumpulan WSG, Datuk Susan Wong Siew Guen berkata, lokasi tersebut dipilih secara strategik kerana berhampiran dengan bank, pawagam, pusat komersial serta kawasan perumahan, sekali gus dijangka melonjakkan perniagaan jenama berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif A&W Malaysia, Charles Chen berkata, restoran itu direka sebagai ruang mesra keluarga dengan suasana dalaman yang luas dan santai, dilengkapi taman permainan kanak-kanak serta bilik khas untuk sambutan hari lahir dan majlis keraian. Restoran tersebut mampu menampung sehingga 120 orang pada satu masa.

“Ini adalah restoran pertama di Sabah yang menawarkan perkhidmatan pandu lalu dan juga ‘drive-in’. Pelanggan boleh menikmati makanan di dalam kereta secara peribadi dengan empat petak parkir khas disediakan,” jelas Chen.

Beliau menambah, konsep ‘drive-in’ pernah popular di Petaling Jaya sekitar tahun 1960-an sebelum digantikan dengan budaya pandu lalu yang lebih pantas.

“Kini, kami memperkenalkan semula konsep ini di Sabah untuk mengembalikan suasana lama yang penuh kenangan,” katanya.

Cawangan baharu di Papar ini, yang merupakan cawangan keempat A&W di Sabah, turut mewujudkan lebih 20 peluang pekerjaan, kebanyakannya untuk penduduk tempatan.

Chen optimis dengan potensi pertumbuhan cawangan tersebut, terutama apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak, yang bakal menarik ramai pengguna jalan raya untuk singgah berehat dan menjamu selera.

Sempena pembukaan itu, A&W dengan kerjasama Kumpulan WSG turut menjemput 15 kanak-kanak daripada Caring for the Future (Malaysia) Bhd menghadiri majlis pelancaran sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat mereka. – BNN