KENINGAU: Suasana meriah dan penuh keceriaan mewarnai Padang Kg. Binaong apabila Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) menganjurkan Karnival Sukaneka Ibu & Anak BMBR sempena BMBR Sports Carnival 2025, pagi tadi.

Acara yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Baginda, Ketua Kampung Kg. Binaong serta Pejabat Wakil Rakyat DUN Bingkor.

Menurut penganjur, objektif utama program adalah mengeratkan hubungan kekeluargaan, khususnya antara ibu dan anak, selain memupuk semangat kesukanan serta kerjasama dalam suasana harmoni.

Sebanyak 10 kumpulan, yang terdiri daripada ibu bapa bersama kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, menyertai pertandingan itu dengan penyertaan melibatkan kampung-kampung sekitar DUN Bingkor.

Penganjuran program ini juga selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya melalui agenda Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) yang memberi penekanan kepada kesejahteraan masyarakat, pembangunan sahsiah dan pembentukan belia yang seimbang.

Majlis penyampaian hadiah dan trofi penghargaan kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda GRS Keningau merangkap Pengerusi Penganjur Karnival Sukan BMBR, Encik Rafie Robert.

Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa aktiviti seumpama ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam komuniti, malah membuka ruang kepada ibu dan anak untuk bergembira bersama sambil bersaing secara sihat.-pr/BNN