KOTA KINABALU: Siri jelajah Tamu Suara 360° (TS360) melabuhkan tirai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu dengan catatan kehadiran lebih kurang seramai 3,000 peserta dari seluruh Sabah.
Program berorientasikan sesi libat urus di antara kerajaan dan golongan belia itu merekodkan penyertaan lebih kurang seramai 16,000 orang membabitkan 16 siri jelajah di seluruh pelusuk negeri Sabah.
Mengulas mengenai program berkenaan, Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, inisiatif julung kali itu bertujuan untuk menginklusifkan suara belia Sabah sebagai sebahagian daripada panduan kerajaan negeri dalam menggubal dasar dan polisi berkaitan pembangunan belia.
“Usaha julung kali ini diadakan oleh MBS di bawah sokongan kerajaan negeri khususnya Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bagi memastikan suara belia terutama di peringkat akar umbi diambil kira secara inklusif sebagai sebahagian daripada panduan kerajaan negeri dalam menggubal dasar dan polisi berkenaan pembangunan belia” ujar Abqaree.
Pada masa sama, Abqaree turut berharap agar program itu terus diperkasa setiap tahun sebagai jambatan komunikasi di antara kerajaan dan belia, bagi memastikan inisiatif baharu kerajaan pada masa depan selari dengan aspirasi belia di negeri itu.
“Program ini sebenarnya menongkah arus birokrasi, menjadikannya istimewa kerana belia dari segenap lapisan komuniti terutamanya di peringkat akar umbi bebas berkongsi pandangan dan idea di hadapan pembuat keputusan, pemerintah.
“Saya harap program ini terus diperkasa setiap tahun sebagai jambatan komunikasi mudah di antara belia dan kerajaan negeri”, Abqaree menambah.
Pada Sabtu, Finale TS360 yang dihadiri oleh pelbagai komuniti belia di SICC turut dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Untuk rekod, siri jelajah TS360 yang bermula di Kuching Sarawak turut membabitkan 15 buah kawasan di seluruh Sabah antaranya Kota Kinabalu, Penampang, Keningau, Kudat, Sandakan, dan Tawau. – pr/BNN