TAWAU: Kerajaan negeri komited memajukan bidang sukan negeri ini, dan dibuktikan dengan pembinaan serta menyediakan banyak prasarana sukan menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, selain itu komitmen kerajaan juga dizahirkan menerusi pemberian insentif kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.

“Sememangnya menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai atlet Sabah menyerlah di pentas kebangsaan dan antarabangsa. Malah kerajaan sentiasa mengiktiraf pencapaian mereka dengan membelanjakan sejumlah besar peruntukan setiap tahun untuk insentif kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau di Stadium Tawau pada Sabtu. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.

Menurut Hajiji, penganjuran SAGA adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan Sabah tidak ketandusan bakat baharu. Temasya itu juga menjadi medan mencungkil atlet pelapis untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Kementerian Belia dan Sukan Negeri perlu terus mencungkil lebih ramai bakat muda melalui pelbagai program atau pertandingan di seluruh negeri. Kita mahu sukan menjadi budaya hidup masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan atlet agar menjadikan SAGA bukan sekadar medan memburu kemenangan, tetapi juga platform menampilkan semangat juang dan keperibadian tinggi.

“Setiap peluh yang tumpah di gelanggang adalah batu asas untuk kejayaan Sabah pada masa hadapan. Binalah nama baik daerah dan negeri kita,” katanya.

Hajiji turut berharap SAGA akan berkembang sebagai karnival sukan berprestij yang bukan sahaja menarik penyertaan masyarakat secara menyeluruh, tetapi turut melahirkan budaya sukan yang lebih meluas di Sabah.

“Program sebegini bukan sahaja menyumbang kepada rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai atlet muda dan cemerlang,” jelasnya.

Katanya, Sabah telah membuktikan kemampuan melahirkan atlet berkualiti dengan kejayaan beberapa bintang sukan negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Farrel Glen Felix Jerus (lompat tinggi), Merrywati Manuil (silat), Evan Rich Chong (memanah) serta Jonathan John (tinju).

“Mereka adalah bukti bahawa anak-anak Sabah mampu menjadi kebanggaan negeri dan negara,” tambahnya.

Hajiji turut menyeru semua peserta SAGA XI agar bertanding dengan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi, selain menjadikan temasya itu sebagai platform mempertingkat pencapaian masing-masing.

“Semoga SAGA Tawau 2025 meninggalkan kenangan manis, menyemai semangat juang, dan melahirkan generasi atlet Sabah yang terbilang di persada negeri, negara bahkan dunia,” katanya.-pr/BNN