KOTA KINABALU: Empat persatuan etnik pedalaman Sabah menggesa kerajaan negeri menunaikan komitmen penyertaan 30 peratus wanita dalam pentadbiran negeri dengan memberi ruang kepada wakil wanita etnik Dusun Gana, Kujau dan Nabai dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Gesaan itu disuarakan oleh Persatuan Gana Sabah (PGS), Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS), Persatuan Dusun Kujau Sabah (PDKS) dan Pertubuhan Murut Nabai Sabah (PMNS) yang menegaskan sudah tiba masanya wanita etnik minoriti itu diberi suara di peringkat pembuat dasar.
Presiden PGS, Julian Lian @ Hafiz, berkata daripada enam kerusi ADUN lantikan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Sabah, sekurang-kurangnya satu wajar diberikan kepada wakil wanita dari Parlimen Keningau.
“Wanita Gana, Kujau dan Nabai bukan meminta simpati — mereka menuntut hak.
Kerajaan negeri perlu membuktikan komitmen inklusif, bukan sekadar janji politik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan beberapa calon wanita berwibawa sudah dikenal pasti termasuk dalam kalangan profesional dan pemimpin masyarakat pedalaman yang mampu membawa suara rakyat ke DUN.
Sementara itu, Pengerusi KGNS Petronella Munting Pawan, Timbalan Pengerusi PDKS Jailine Rose Lian Ginanda dan Presiden PMNS Egbert Manjin menyokong penuh gesaan itu, sambil menegaskan bahawa penglibatan wanita dalam kepimpinan negeri amat penting bagi memastikan dasar pembangunan yang adil dan menyeluruh.
Egbert yang juga penerima Anugerah Tokoh Etnik Orang Asal 2025 berkata, wanita etnik minoriti berperanan memperkukuh perpaduan serta membawa perspektif baharu terhadap pembangunan luar bandar.
“Suara mereka mesti didengar, hak mereka mesti diiktiraf, dan masa depan politik Sabah mesti dibina bersama mereka,” menurut kenyataan bersama empat pertubuhan itu.
Pelantikan ADUN lantikan di Sabah bertujuan memperluas representasi masyarakat, menyeimbangkan komposisi politik serta memberi ruang kepada pemimpin masyarakat dan profesional untuk menyumbang kepada dasar negeri.
Gesaan yang dibawa PGS, KGNS, PDKS dan PMNS ini dilihat mencerminkan aspirasi baharu politik Sabah — politik yang inklusif, adil dan berteraskan keadilan representasi untuk semua rakyat negeri ini.-pr/BNN