KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan kejayaan Sabah Law Society (SLS) dalam perjuangan menuntut 40 peratus hasil negeri sebagai detik bersejarah yang membuktikan bahawa perjuangan rakyat Sabah akhirnya berhasil.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kesungguhan SLS memperjuangkan hak negeri dan disambut penuh penghargaan oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri dan Caretaker Kerajaan Sabah yang sentiasa menegakkan kepentingan negeri tanpa menuntut pujian peribadi.

“Selama hampir setengah abad hak ini diabaikan, dan kini perjuangan itu membuahkan hasil. Hajiji tidak pernah mengambil kredit atas kejayaan SLS ini, malah menghargai usaha mereka. Beliau tahu perjuangan ini adalah milik seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aksyah berkata, sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pemerintahan negeri, pelbagai kejayaan dicapai yang membuktikan kerajaan pimpinan Hajiji bekerja untuk rakyat, bukan bersandar kepada slogan.

“Pihak pembangkang boleh terus menabur naratif kononnya kerajaan ini gagal, tetapi fakta dan hasil tidak pernah menipu. Banyak perkara yang berjaya diselesaikan di bawah GRS,” katanya.

Beliau berkata, banyak isu yang sering dijadikan bahan politik oleh pihak lawan sebenarnya diwarisi daripada kerajaan terdahulu, termasuk Barisan Nasional (BN) yang memerintah hampir 30 tahun tetapi gagal menyelesaikan tuntutan 40 peratus dengan tuntas.

Aksyah turut menyelar sikap Parti Warisan yang menurutnya hanya pandai berpolitik tetapi gagal menunjukkan keberanian memperjuangkan hak Sabah ketika berkuasa selama 26 bulan.

“Warisan kononnya mahu menjadi pejuang 40 peratus, tetapi sewaktu menerajui kerajaan, mereka akur kepada Kerajaan Persekutuan. Mereka tidak berani memperjuangkan hak Sabah kerana takut pada Tun Dr Mahathir Mohammad yang ketika itu Perdana Menteri,” katanya.

Beliau merujuk laporan Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 9 Disember 2020, yang memetik kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Tan Sri James Masing bahawa Presiden Warisan sebenarnya gentar berhadapan dengan Dr.Mahathir kerana bimbang rahsia dan kes rasuahnya yang digantung berstatus “Kes Untuk Simpanan (KUS)”.

“Kalau benar perjuang, mengapa tunduk pada tekanan politik? Sebaliknya, mereka memilih berdiam diri dan terus mematuhi Pemberian Khas Sabah sebanyak RM53.4 juta tanpa usaha meningkatkan jumlah itu,” tegasnya.

Menurutnya, perkara itu jelas berbeza dengan pendekatan Hajiji yang berani memperjuangkan hak negeri melalui saluran diplomasi dan kerjasama harmoni bersama Kerajaan Persekutuan.

Aksyah berkata, hasil kebijaksanaan dan ketegasan Hajiji, Sabah kini menikmati peningkatan Pemberian Khas daripada RM53.4 juta kepada RM600 juta — pencapaian besar yang tidak pernah berlaku di bawah pentadbiran terdahulu.

“Inilah bukti pendekatan berhemah, matang dan berkesan yang mengutamakan rakyat berbanding politik kepartian sempit. Kejayaan SLS menjadi pelengkap kepada usaha berterusan GRS dalam mempertahankan hak Sabah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan Hajiji terhadap kejayaan SLS sebagai tanda keikhlasan seorang pemimpin yang mendahulukan kepentingan rakyat berbanding pencapaian peribadi.

Aksyah mengulangi keyakinannya bahawa GRS adalah simbol kestabilan dan kemakmuran negeri — diibaratkan sebagai “Angsa Emas” yang perlu terus dipelihara oleh rakyat Sabah.

“Selagi Sabah dipimpin oleh parti tempatan yang kukuh serta mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, banyak lagi kejayaan akan dikecapi. GRS bukan sekadar kerajaan, tetapi lambang keutuhan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keputusan untuk menolak politik dendam Warisan dan tidak lagi berpaut pada nostalgia bersama BN adalah langkah berani yang menjadikan rakyat Sabah lebih bermaruah dan berdaulat.

“GRS dibina atas kesedaran dan solidariti rakyat Sabah sendiri. Ia wujud untuk memastikan negeri ini tidak dijarah atau dijajah semula oleh ‘tikus perosak’ yang kononnya mahu membaiki labu,” katanya.-pr/BNN