KENINGAU: Keprihatinan Datuk Annuar Ayub Aman terhadap kebajikan dan pembangunan bakat anak tempatan sekali lagi terserlah apabila beliau menyalurkan sumbangan kepada seorang anak muda dari Liawan, Mickson Ambuling, yang bakal mewakili Sabah ke Slingshot Terbuka Malaysia 2025 di Kelantan pada 1 November ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Operasi beliau, Mohamad Raihan Jinode, sebagai tanda sokongan terhadap semangat dan usaha Mickson yang berani mencabar diri di pentas nasional.
Annuar menegaskan, sokongan kepada bakat muda perlu diberikan tanpa mengira bidang kerana mereka adalah aset penting dalam membina keyakinan dan jati diri generasi seterusnya.
“Saya percaya setiap anak muda mempunyai potensi tersendiri. Tanggungjawab kita ialah memberi dorongan agar mereka berani mencuba dan membawa nama Sabah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan seseorang anak muda membawa nama negeri bukan sahaja mencerminkan kecekapan individu, tetapi juga semangat masyarakat yang berdiri di belakangnya.
Katanya, sumbangan yang diberikan bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi lambang kepercayaan terhadap kemampuan anak tempatan untuk mencipta kejayaan melalui disiplin, usaha dan semangat juang.-pr/BNN





