KENINGAU: Usaha memelihara seni warisan etnik tempatan terus disemarakkan melalui Bengkel Asas Jahitan Linangkit yang dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Keningau (KenCA) dengan kerjasama Persatuan Dusun Kujau Sabah, bertempat di Dewan Terbuka Kampung Bingkor Baru, Keningau.

Program yang diadakan sempena Program Pemerkasaan Budaya Etnik Keningau itu bertujuan memperkasa, memelihara serta memartabatkan seni budaya tradisional masyarakat pedalaman Sabah, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Seramai 50 peserta terdiri daripada golongan belia, wanita dan komuniti setempat menyertai bengkel berkenaan untuk mempelajari seni jahitan tradisional Linangkit, iaitu tenunan halus berwarna-warni yang menjadi identiti kebanggaan etnik Dusun dan Murut.

Bengkel itu dikendalikan oleh enam tenaga pengajar berpengalaman yang diketuai oleh Pn. Noemi Takun, memberi tumpuan kepada teknik asas jahitan, corak tradisional serta pemilihan warna dan bahan asli yang melambangkan keindahan budaya tempatan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Keningau, Rafie Robert

dan turut dihadiri oleh En. Mohd Zaki Zakaria, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Keningau (KenCA).

“Warisan seperti Linangkit bukan sekadar hiasan pakaian, tetapi simbol ketekunan, kesenian dan identiti masyarakat etnik kita. Ia perlu diteruskan oleh generasi muda agar tidak pupus ditelan zaman,” kata Rafie dalam ucapannya.

Beliau menegaskan bahawa usaha memperkasa budaya etnik perlu digerakkan secara berterusan melalui pendekatan latihan dan bengkel kemahiran agar seni tradisi tidak hanya kekal sebagai simbol sejarah, tetapi menjadi warisan hidup yang memberi manfaat ekonomi kepada komuniti.

Program ini turut mendapat kerjasama Persatuan Penggerak Masyarakat Daerah Keningau, Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) serta sokongan penuh daripada Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau.

Menurut penganjur, bengkel ini bukan sahaja bertujuan menghidupkan semula warisan Linangkit, tetapi juga membuka peluang kepada peserta untuk menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan baharu, khususnya dalam perusahaan kraf dan pelancongan budaya.-pr/BNN