KENINGAU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyeru golongan belia agar terus bersatu dan memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju masa depan Sabah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jelajah PRN17 Sabah yang diadakan di Balai Belia Kampung Bariawa Tengah, di sini, kelmarin.
Program tersebut berjaya menghimpunkan ratusan anak muda dari seluruh kawasan DUN Liawan dalam suasana penuh semangat dan kebersamaan.
“Kehadiran ramai belia pada program ini membuktikan bahawa golongan muda kini semakin sedar akan tanggungjawab mereka terhadap negeri dan negara. Suara belia sangat penting dalam membentuk masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya.
Program berbentuk santai itu turut menjadi platform kepada para belia untuk berkongsi pandangan, menyuarakan harapan serta membincangkan pelbagai isu semasa yang memberi kesan langsung kepada mereka, termasuk soal peluang pekerjaan, pendidikan, dan pembangunan luar bandar.
Annuar turut menekankan kepentingan kerjasama antara semua lapisan masyarakat, khususnya golongan belia, bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Sabah memerlukan tenaga dan idea anak muda yang segar untuk terus maju. Saya yakin belia Liawan mampu menjadi contoh kepada generasi lain dalam memperjuangkan kemajuan kawasan masing-masing,” katanya.
Program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk sesi dialog bersama pemimpin muda tempatan, persembahan kebudayaan, dan aktiviti riadah yang mencerminkan perpaduan masyarakat setempat.-pr/BNN





