KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan Ustaz Mohd Julpikar bin Ab Mijan sebagai calon rasmi parti tu yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.64 Sulabayan, Semporna pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Pengumuman itu dibuat sempena Konvensyen AMANAH Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu di Golden Hotel, Sembulan, di sini semalam.
Dalam ucapannya, Mohamad Sabu menyeru seluruh jentera AMANAH Sabah supaya memulakan kerja pilihan raya dari sekarang dan menggembleng tenaga secara tersusun bagi menghadapi PRN yang semakin hampir.
Beliau menegaskan bahawa PRN kali ini menuntut kesungguhan tinggi dan perancangan strategik daripada setiap peringkat parti bagi memastikan AMANAH berjaya menembusi peta politik Sabah dan memperoleh kerusi sulungnya di negeri ini.
“PRN Sabah nanti memerlukan kesungguhan dan gerak kerja yang tersusun dari setiap peringkat. AMANAH mesti berusaha keras untuk mendapatkan kerusi sulung kita di negeri ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua ahli agar mengekalkan perjuangan berasaskan nilai, integriti dan keberanian moral, bukan semata-mata mengejar kemenangan politik. Katanya, kemenangan sebenar bukan hanya diukur melalui undi, tetapi melalui keyakinan rakyat terhadap kejujuran dan istiqamah perjuangan parti.
Beliau yakin dengan semangat kerja berpasukan dan keikhlasan dalam perjuangan, AMANAH mampu menawan hati rakyat Sabah serta membawa suara mereka ke DUN.
Calon yang diumumkan, Ustaz Mohd Julpikar bin Ab Mijan, merupakan seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat dari Semporna yang aktif dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah & Undang-undang) dari UIN Suska Riau, Indonesia, dan mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan, dakwah serta NGO.
Antara pengiktirafan yang diterimanya termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023. Selain itu, beliau turut aktif sebagai usahawan pendidikan dan komuniti, menjadikannya antara figura muda yang berpotensi membawa gagasan politik nilai dan pembangunan masyarakat ke peringkat negeri.-pr/BNN





