KENINGAU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menzahirkan penghargaan kepada penduduk Kampung Meninipir atas sambutan hangat dan penuh semangat kebersamaan dalam program santai bersama masyarakat setempat, kelmarin.

Beliau berkata, kehadiran penduduk yang ramai mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat di Liawan yang terjalin atas dasar kepercayaan serta kebersamaan.

“Saya amat menghargai sokongan dan semangat rakyat Liawan yang sentiasa bersama dalam setiap usaha membangunkan daerah ini. GRS adalah harapan yang memberi peluang, dan bersama-sama kita akan terus memastikan kemajuan yang adil serta seimbang untuk semua,” katanya.

Selama lima tahun menerajui DUN Liawan, Annuar membuktikan dirinya bukan sekadar pemimpin yang mendengar, tetapi juga pemimpin yang turun padang dan bertindak terhadap setiap keperluan rakyat.

Beliau berkata, setiap pembangunan yang dirancang bukan sekadar projek fizikal, tetapi melibatkan usaha berterusan untuk memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

“Pembangunan ini lebih daripada sekadar infrastruktur. Ia soal masa depan kita bersama dan peluang untuk setiap anak Liawan menikmati kemajuan yang sama rata,” tegasnya.

Menurutnya, kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada perpaduan yang kukuh dan kesepakatan rakyat tanpa mengira latar belakang. Justeru, beliau menyeru penduduk untuk terus bersatu hati demi mencapai kemajuan yang inklusif dan mampan.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada isterinya, YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, yang sentiasa menjadi tulang belakang serta sumber kekuatan moral dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan khidmat kepada rakyat.

Annuar menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, mendengar suara rakyat, dan memastikan Liawan kekal di landasan pembangunan seimbang di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).-pr/BNN