KENINGAU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau terus komited membela kepentingan rakyat luar bandar dengan menyalurkan sumbangan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan pertanian dan sawah padi di Kampung Nuntunan.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Encik Mohd Zaki Zakaria, mewakili Ketua Pemuda GRS Keningau, Encik Rafie Robert, kepada Encik Thomas Simin, wakil penduduk kampung berkenaan.
Usaha itu bertujuan meringankan beban penduduk serta memastikan kemudahan asas luar bandar terus diberi perhatian, khususnya bagi mereka yang bergantung kepada sektor pertanian.
“GRS sentiasa komited memastikan kemudahan asas rakyat di kawasan pertanian diberi perhatian. Jalan pertanian yang baik memudahkan pergerakan dan menjadi nadi kepada ekonomi keluarga serta komuniti,” kata Rafie.
Beliau menegaskan bahawa Pemuda GRS akan terus turun padang mendengar keperluan masyarakat dan mencari penyelesaian terhadap isu yang menjejaskan kehidupan harian rakyat.
Sementara itu, Thomas Simin menzahirkan penghargaan kepada GRS atas bantuan berkenaan.
“Kerosakan jalan pertanian menyukarkan akses ke sawah padi dan menjejaskan hasil tanaman. Bantuan ini sangat membantu dan kami berharap usaha sebegini diteruskan,” katanya.
Penduduk kampung yakin pendekatan turun padang oleh GRS akan terus memacu pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Keningau.-pr/BNN





