KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa fokus utama beliau dalam arena politik tetap tertumpu kepada khidmat untuk rakyat serta memperkukuh perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama jentera Pemuda di akar umbi.

Menurutnya, soal sama ada beliau akan bertanding atas tiket bebas atau tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 bukanlah keutamaan ketika ini dan sebarang keputusan akan dibuat hanya selepas perbincangan bersama jentera serta sahabat seperjuangan dalam Pemuda Gagasan Rakyat.

“Apapun, saya perlu bincang dengan jentera dan sahabat-sahabat Pemuda dahulu kerana setiap tindakan saya akan memberi kesan besar, bukan hanya kepada kawasan Pintasan tetapi juga kepada seluruh jentera Pemuda,” katanya.

Fairuz berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Exco Pemuda Gagasan Rakyat bagi menyerahkan tugas-tugas kempen pilihan raya, di sini petang tadi.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat itu turut menzahirkan penghormatan terhadap keputusan Presiden GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang menamakan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sebagai calon GRS bagi kerusi DUN Pintasan.

“Saya terima keputusan Presiden dengan hati terbuka. Fokus saya sekarang ialah menggerakkan jentera Pemuda untuk memastikan kemenangan calon-calon GRS di semua kawasan yang kita tandingi,” katanya.

Tambahnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Hajiji dalam masa terdekat untuk mendapatkan pandangan dan nasihat sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenai kedudukannya.

“Saya faham kekecewaan penyokong dan jentera di kawasan saya, tetapi saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru. Untuk bertanding atau tidak, sama ada atas tiket bebas atau sebaliknya, itu perkara besar yang perlu difikirkan dengan teliti,” jelasnya.-pr/BNN