KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 15 November 2025 (Sabtu) sebagai Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17.
Menurut Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, kertas penamaan calon boleh dikemukakan antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 25 Pusat Penamaan Calon yang ditetapkan.
Penyerahan kertas penamaan boleh dibuat oleh calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua daripada mereka, ataupun oleh mana-mana seorang daripada mereka sahaja.
SPR menyarankan agar semua bakal calon mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon, selain memastikan bayaran deposit dibuat lebih awal. Resit pembayaran deposit perlu dibawa semasa hari penamaan calon sebagai bukti.
“Bakal calon yang mewakili parti politik juga perlu mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti semasa menyerahkan kertas penamaan calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, calon yang telah membuat bayaran deposit bahan kempen tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).
SPR turut menyeru semua calon dan parti politik yang bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan teratur.-BNN





