TUARAN: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh mandat kukuh untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17.

“Keputusannya jelas — saya yakin GRS dan PH akan membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan borang pencalonannya di Dewan Seri Sulaman di sini pada Sabtu.

Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, tiba di pusat penamaan calon pada jam 9 pagi, diiringi kepimpinan GRS serta ribuan penyokong.

Turut bersama beliau ialah penyandang DUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; penyandang DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; serta calon baharu bagi DUN Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface. Kesemua mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

Bagi kerusi Sulaman, Hajiji berdepan saingan lima penjuru. Jasnih pula menghadapi tujuh penjuru di Pantai Dalit, Joniston berentap dalam persaingan lapan penjuru di Kiulu, manakala Dr Bonaventure bakal bertanding dalam pertandingan 13 penjuru di Tamparuli — antara kerusi paling sengit pada pilihan raya kali ini.

Mengulas situasi di Sulaman, Hajiji berkata beliau optimis GRS mampu meraih kemenangan besar di kawasan itu.“Kita sudah mengetahui calon-calon yang bertanding di kawasan Sulaman. Inilah demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding.

Tetapi saya amat yakin calon GRS akan menang dengan majoriti yang besar di kawasan Sulaman,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap manamana ahli Gagasan Rakyat dan GRS yang memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya ini.

“Saya juga menerima makluman. Bagi parti-parti lain yang bertanding, kita boleh terima. Tetapi bagi ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS yang bertanding sebagai calon Bebas, kita akan mengambil tindakan untuk memecat mereka daripada parti,” tegasnya.-pr/BNN