KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengingatkan semua calon serta penyokong parti itu agar tidak memperlekeh atau merendah-rendahkan calon saingan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian itu menegaskan bahawa fokus utama pada pilihan raya kali ini ialah memastikan rakyat memilih parti tempatan yang benar-benar memahami aspirasi, perjuangan serta hak rakyat Sabah.
Katanya, kehadiran banyak parti tempatan dalam pilihan raya merupakan perkembangan positif kerana menunjukkan kesungguhan rakyat Sabah untuk memimpin negeri sendiri.
“Dalam pilihan raya ini kita bersaing, tetapi itu baik. Ini menunjukkan semua parti tempatan mahu memimpin. Bayangkan kalau kerajaan Sabah 100 peratus dianggotai parti tempatan, semua keputusan tentang hak Sabah tidak perlu ditunggu atau dirunding lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan “Referendum Sabah First – Pason Ku Montok Kadamaian” di Konvensyen Rakyat di Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Ewon turut mengingatkan rakyat negeri ini supaya bijak menilai parti bertanding berdasarkan prinsip perjuangan, bukan retorik atau penghinaan antara sesama calon.
“Ini masa untuk kita memenangkan hak 40 peratus. Pilihlah parti tempatan dan di Kadamaian, pilihlah saya untuk terus memimpin Kadamaian dan bersama-sama memimpin Sabah,” katanya.
Ewon menegaskan bahawa PRN kali ini bukan sekadar memilih ADUN, tetapi referendum untuk menentukan sama ada Sabah mahu kembali ditadbir oleh pemimpin tempatan yang memperjuangkan hak negeri.
“Inilah masanya. Mari kita mulai dari Kadamaian dan Kadamaian bersedia memimpin Sabah seterusnya memperjuangkan agenda Sabah First,” katanya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada tujuh calon lain yang bertanding di Kadamaian, sambil menekankan semua calon tersebut ialah anak tempatan yang mempunyai sumbangan masing-masing.
Ewon menghadapi pertandingan lapan penjuru di kerusi DUN Kadamaian, pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Penyandang kerusi DUN Kadamaian ditentang oleh calon Parti Warisan (Norman Simon), Judin Tingih (Parti Bangsa Malaysia), Daibi Mandadi (PIS), James Muyau (GRS), Davylandon Rubbin (STAR), Josley Taising (KDM) dan Priskila Akwila Sinem (Parti Kerjasama Anak Negeri atau Anak Negeri).-pr/BNN





