KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah mengesahkan penarikan diri Hj. Abdul Halim Sidek bin Gulam Hassan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri N.62 Silam pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, YB Datuk Mustapha Sakmud berkata pihaknya menghormati keputusan tersebut yang dibuat secara bertanggungjawab setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga keharmonian antara parti-parti komponen PH serta rakan kerjasama politik di Sabah.
Beliau menegaskan bahawa keputusan itu adalah keputusan peribadi Abdul Halim tanpa tekanan daripada mana-mana pihak, sambil menambah bahawa semangat setiakawan serta keutuhan kerjasama politik terus menjadi keutamaan KEADILAN dalam memastikan kestabilan politik negeri terpelihara.
Walaupun tidak bertanding, Abdul Halim memberi jaminan akan terus berkhidmat kepada rakyat Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu disumbangkannya. KEADILAN Sabah turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan perjuangan beliau selama ini.
Mustapha turut menggesa semua jentera dan penyokong PH di Silam dan Lahad Datu agar kekal tenang, fokus dan memperkukuh perpaduan demi kemenangan gabungan itu.
“Harapan Urang Sabah – Sabah Maju Bersama Madani,” katanya.-BNN





