BEAUFORT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertekad menjadi sebuah kerajaan yang adil dan saksama, satu prinsip yang ingin terus dipertahankannya apabila diberikan mandat baharu oleh rakyat pada 29 November ini, kata Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata GRS mempunyai agenda jelas untuk melaksanakan perkara tersebut seperti yang digariskan dalam manifesto pilihan rayanya yang menampilkan utama empat teras iaitu keutamaan kepada Sabah (Sabah First), membawa Sabah melangkah ke hadapan (Sabah Forward), Sabah maju dan jaya (Sabah Prosper) dan Sabah bersatu hati (Sabah United).

“GRS telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri dengan berkesan sepanjang lima tahun lalu. Kita telah berjaya memajukan Sabah melalui pelbagai inisiatif.

“Kita juga telah membantu rakyat di seluruh Sabah tanpa mengira kaum atau agama. GRS benar-benar komited dalam pembangunan Sabah.

“Kita memohon mandat baharu untuk meneruskan perancangan ini,” kata Hajiji pada majlis bersama rakyat di Dataran Begandang di sini hari ini.

Turut hadir calon-calon GRS Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Ruslan Muharam (Lumadan), Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musa dan Ketua Wanita GRS Datuk Azizah Dun.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri pimpinan GRS telah mencapai kejayaan besar, khususnya dalam usaha memulihkan ekonomi Sabah selepas pandemik Covid-19 melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sebagai contoh, beliau berkata penduduk Sipitang dan kawasan sekitarnya seperti Lumadan dan Klias akan menerima manfaat daripada limpahan ekonomi pembangunan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP).

“Perjanjian telah ditandatangani dengan banyak syarikat untuk memulakan operasi mereka, dan kini SOGIP telah terisi sepenuhnya,” katanya.

Hajiji menegaskan bahawa walaupun Kerajaan Negeri pimpinan GRS memberi tumpuan kepada projek-projek mega untuk pembangunan Sabah, kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan.

“Apabila kami kembali menjadi kerajaan pada 29 November nanti, kami akan mempertimbangkan pemberian bantuan kepada semua warga emas layak berusia 60 tahun ke atas.Inilah hasrat kami, kami mahu membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun lalu, jumlah penerima kebajikan telah meningkat daripada 30,000 kepada 70,000 orang dengan setiap individu menerima bantuan sehingga RM300 sebulan.

Hajiji menambah bahawa mulai tahun ini, kira-kira 100,000 ketua isi rumah yang tersenarai dalam program e-Kasih menerima RM300 setiap bulan.

Beliau berkata GRS akan meneruskan inisiatif tersebut selain memperkenalkan yang baharu demi kebajikan rakyat dan kemajuan Sabah apabila kembali menjadi kerajaan.

Beliau turut menggesa jentera pilihan raya GRS agar terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon masing-masing.-pr/BNN