BINTULU: Jaringan kerjasama komuniti Hakka di Borneo terus diperkukuh apabila Presiden Persatuan Hakka Keningau Sabah, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-25 Persatuan Hakka Bintulu bertemakan “Mewarisi Semangat Hakka, Meraikan 25 Tahun”, yang diadakan serentak dengan Karnival Persatuan-Persatuan Hakka Sarawak ke-11, baru-baru ini.

Program berprestij itu dianjurkan di bawah naungan Persekutuan Persatuan Hakka Sarawak menjadi platform penting mempererat hubungan rentas negeri dalam kalangan komuniti Hakka di Borneo.

Dalam suasana penuh muhibah dan semangat kebersamaan, kehadiran Anthony melambangkan komitmen berterusan Persatuan Hakka Keningau Sabah untuk memperkukuh jaringan kerjasama, selain menyokong usaha memelihara warisan budaya, bahasa dan nilai murni masyarakat Hakka agar terus subur dan relevan untuk generasi akan datang.

Turut hadir ialah wakil Persatuan Hakka dari Penampang, Tawau, Kudat, Kota Kinabalu, Papar, Lahad Datu, Sandakan dan Semporna, yang mencerminkan kesepaduan serta solidariti komuniti Hakka merentas daerah dan negeri.-pr/BNN