KOTA KINABALU: Komuniti perniagaan di Sandakan, khususnya ejen perkapalan dan penghantar, disaran memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Pelabuhan Kontena Lahad Datu sebagai alternatif utama bagi pengangkutan barangan, tanpa perlu bergantung kepada pelabuhan di Tawau dan Kota Kinabalu (Sepanggar) yang terletak lebih jauh.

Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee berkata, dalam situasi semasa, pelabuhan di Tawau dan Sepanggar turut berdepan isu kelewatan pelepasan kontena yang panjang, sekali gus menambah tekanan kos dan masa kepada penggiat industri logistik.

“Kekecewaan serta kemarahan yang disuarakan oleh ejen perkapalan dan penghantar di Sandakan adalah sesuatu yang amat difahami, memandangkan kelewatan penghantaran dan pelepasan kargo melibatkan kos yang tinggi, melambatkan penerimaan bayaran serta menjejaskan aliran tunai perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yong berkata, keupayaan Pelabuhan Kontena Lahad Datu telah terbukti apabila berjaya mengendalikan lebih 230 kontena bagi projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System – BESS) untuk Sabah Electricity pada tahun lalu.

Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan kecekapan serta kelajuan operasi pelabuhan berkenaan, sekali gus meyakinkan komuniti perniagaan untuk menjadikannya sebagai pusat logistik utama di Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, beliau menggesa ejen perkapalan dan penghantar di Sandakan supaya segera berhubung dengan pegawai pelabuhan berkaitan di Lahad Datu bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menyelaras urusan penghantaran.

“Lahad Datu kini sedang berkembang sebagai hab utama penghantaran kargo di Pantai Timur Sabah. Dari segi pengendalian baja pula, daerah ini merupakan antara kluster terbesar di seluruh Malaysia,” katanya.

Yong menegaskan, penggunaan Pelabuhan Lahad Datu bukan sahaja mampu mengurangkan kos dan masa penghantaran, malah membantu memperkukuh rantaian bekalan serta kelangsungan perniagaan di Pantai Timur negeri ini.-pr/BNN