KOTA KINABALU: Semakan semula tarif elektrik akan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, berkualiti dan mampan, sambil terus mengambil kira kesejahteraan pengguna.
Pelaksanaan akan bermula pada 1 Februari 2026 di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR) bagi menampung kos pembekalan elektrik, selaras dengan peruntukan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Pelaksanaan semakan tarif ini dibuat susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan sistem, keperluan pelaburan infrastruktur serta selaras dengan dasar Kerajaan mengenai pengurangan subsidi secara berperingkat.
Langkah ini penting bagi kelangsungan dan kemampanan syarikat utiliti dalam memastikan sistem pembekalan elektrik terus berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan.
Perubahan kadar tarif elektrik ini melibatkan semakan struktur dan kadar tarif baharu elektrik bagi pengguna Sabah Electricity di mana kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj telah diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj.
Bagi tempoh kawal selia kedua (Regulatory Period 2 – RP2), kadar purata kos pembekalan elektrik atau tarif sebenar diperlukan ialah 45.08 sen/kWj berbanding dengan semakan tarif yang diluluskan iaitu 39.70 sen/kWj.
Kerajaan Persekutuan masih komited memberikan bantuan subsidi bagi menampung jurang perbezaan tersebut, di mana jumlah subsidi bagi dua tahun (2026–2027) adalah sebanyak RM849 juta.
Pengguna elektrik di Sabah dan W.P Labuan telah menikmati kadar tarif terkini sejak 2014 di mana semakan terakhir dilaksanakan dan kos pembekalan elektrik telah meningkat, namun tarif elektrik tidak diselaraskan mengakibatkan kebergantungan bantuan subsidi yang tinggi daripada Kerajaan.
Dalam pada itu, semakan tarif ini juga telah mengambilkira kepentingan pengguna domestik, peniaga kecil dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
85p eratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj (amaun bil semasa RM5 hingga RM206) hanya mengalami kenaikan minima hingga RM27.
Bagi pengguna domestik miskin tegar, rebat e-Kasih sehingga maksimum RM40 sebulan akan terus diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem e-kasih.
Manakala bagi pengguna komersil kecil, blok penggunaan elektrik yang dilindungi dilanjutkan sehingga 500kWj sebulan (bagi amaun bil semasa RM15 hingga RM199) dan dianggar lebih separuh pengguna komersil berada dalam kategori ini dan hanya akan mengalami kesan kenaikan yang minimum kenaikan RM4 hingga RM24 termasuk kedai runcit dan perniagaan kecil.
Off-Peak Tariff Rider (OPTR) iaitu diskaun 20% bagi penggunaan waktu bukan puncak juga diteruskan kepada pengguna Komersil dan Industri voltan rendah untuk mengurangkan beban peniaga kecil-kecilan.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti, diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadah dan institusi
pendidikan berdaftar (Welfare, Worship & Education) diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan semakan tarif.
Kerajaan Negeri juga memperkenalkan diskaun 10% yang baharu kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan (Agriculture, Aquaculture & Aquamarine – AAA) sebagai langkah menyokong keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan.
Melalui semakan tarif ini, pelaburan dapat diteruskan bagi penyelenggaraan dan naik
taraf rangkaian elektrik, sekali gus mengurangkan gangguan bekalan serta menyokong pembangunan infrastruktur baharu termasuk sistem grid yang lebih kukuh lebih mampan.
Langkah ini penting bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai untuk kegunaan rakyat dan sektor perniagaan.
Dalam pada itu, pengguna adalah digalakkan untuk menggunakan tenaga lebih cekap dan berhemah serta menyertai program-program tenaga yang dikelola oleh Energy
Commission of Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity bagi mengurangkan impak kenaikan bil dan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu.
Maklumat berkaitan boleh didapati melalui laman sesawang ECoS https://ecos.gov.my.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai jadual tarif melalui laman sesawang Sabah Electricity www.sesb.com.my serta membuat anggaran kos bil elektrik bulanan akan datang menggunakan Kalkulator Bil Elektrik yang boleh diakses mulai 1 Februari 2026.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pengguna digalakkan menghubungi Sabah Electricity di talian 15444, 088-515000 atau melalui aplikasi Sabah Electricity.-pr/BNN





