KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat mengambil maklum pengumuman Sabah Electricity berhubung semakan dan pelarasan tarif elektrik di Sabah yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.
Pemuda Gagasan Rakyat memahami bahawa semakan tarif elektrik adalah langkah yang perlu bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah kekal stabil, berkualiti, dan mencukupi untuk keperluan semasa serta masa depan.
Pelarasan ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan secara berperingkat serta menampung kos bahan api, penyelenggaraan sistem, dan keperluan naik taraf infrastruktur grid elektrik.
Bagaimanapun, Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa sebarang kenaikan tarif perlu disertai peningkatan kualiti perkhidmatan yang nyata.
Gangguan bekalan, ketidakstabilan voltan, dan isu kebolehpercayaan sistem tidak boleh dianggap perkara biasa, terutamanya apabila pengguna membayar kadar lebih tinggi.
Sabah Electricity perlu memastikan tahap kecekapan operasi, kebolehpercayaan sistem, dan respons perkhidmatan pelanggan setimpal dengan pelarasan tarif.
Pemuda Gagasan Rakyat turut menggesa supaya perlindungan pengguna diperluaskan melalui diskaun, rebat, atau bantuan bersasar, khususnya kepada golongan B40, isi rumah berpendapatan sederhana, peniaga kecil, serta sektor kritikal yang menyokong ekonomi rakyat.
Setiap sen tambahan hasil pelarasan tarif juga perlu dibelanjakan secara berhemah, telus, dan bertanggungjawab, dengan keutamaan kepada penambahbaikan infrastruktur, pengurangan gangguan bekalan, dan pelaburan dalam tenaga mampan.
Pemuda Gagasan Rakyat menekankan bahawa semakan tarif elektrik bukan sekadar kenaikan harga, tetapi langkah strategik bagi memastikan sistem elektrik Sabah lebih terjamin, mampan, dan boleh dipercayai untuk generasi kini dan akan datang.-BNN




