KOTA KINABALU: Kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dilihat sebagai peluang besar kepada penggiat industri pelancongan untuk meningkatkan pertumbuhan, keterlihatan serta inovasi dalam sektor berkenaan.
Presiden Sabah Tourist Association (STA), Melanie Chu, menggesa semua penggiat industri agar menyelaraskan produk, perkhidmatan dan strategi pemasaran masing-masing bagi memanfaatkan sepenuhnya momentum kempen nasional itu.
“Marilah kita menyokong kempen ini dengan sepenuh hati dan meletakkan Sabah pada kedudukan yang kukuh di dalamnya.
“Kita boleh menukar inisiatif nasional ini kepada peluang bermakna untuk perniagaan dan komuniti kita. Acara seperti ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia memerlukan masa, koordinasi dan dedikasi, justeru usaha semua pihak amat dihargai,” katanya.
Melanie berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam STA bertemakan “Camaraderie and Fun Night” yang diadakan di sebuah hotel, di sini.
Menurut Melanie, industri pelancongan sememangnya mencabar, namun mampu memberikan pulangan yang besar apabila semua pihak berkepentingan berganding bahu dan bekerjasama secara strategik.
Katanya, STA berperanan sebagai platform untuk menyatukan warga industri serta memperkukuh jaringan kerjasama, memandangkan para pengusaha tidak bergerak secara bersendirian dalam ekosistem pelancongan.
“Persatuan ini mewakili kumpulan pengusaha, perniagaan dan profesional yang pelbagai, masing-masing menyumbang dalam cara berbeza tetapi berada dalam ekosistem yang sama.
“Peranan kami adalah memperjuangkan kepentingan ahli, menggalakkan kolaborasi dan membantu mewujudkan persekitaran yang membolehkan perniagaan berkembang secara mampan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Melanie memaklumkan STA bekerjasama rapat dengan beberapa organisasi utama di Sabah termasuk Sabah Tourism Board, Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Ministry of Tourism, Arts and Culture (MOTAC) serta Sabah Convention Bureau.
Melanie turut merakamkan penghargaan kepada pihak media atas sokongan berterusan dalam mengetengahkan inisiatif yang mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan.-BNN





