KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap pendirian tegas Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah yang menolak sebarang tuntutan Filipina ke atas negeri ini.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kenyataan yang disuarakan Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim, adalah selaras dengan semangat patriotisme serta prinsip kedaulatan negara, selain berpaksikan realiti sejarah dan perundangan antarabangsa yang telah memuktamadkan kedudukan Sabah sebagai sebahagian sah dalam Persekutuan Malaysia.
Menurut beliau, tuntutan yang terus dibangkitkan oleh pihak luar adalah tidak berasas dan berpotensi mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat, sekali gus menjejaskan keharmonian serantau yang selama ini terpelihara.
“Sabah adalah negeri berdaulat dalam Malaysia dan kedudukannya tidak boleh dipertikaikan. Sejarah, proses pembentukan Malaysia serta pengiktirafan antarabangsa telah jelas membuktikan bahawa Sabah kekal bersama Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyokong seruan Pemuda Gagasan Rakyat agar seluruh rakyat Sabah, khususnya golongan muda, terus bersatu padu mempertahankan kedaulatan negeri serta mengekalkan perpaduan yang menjadi asas kekuatan masyarakat.
Tambahnya, rakyat Sabah yang berbilang kaum dan latar belakang perlu terus memelihara semangat kebersamaan, keamanan dan keharmonian tanpa dipengaruhi isu yang boleh menggugat kestabilan negeri.
“Kita harus berdiri teguh bersama kepimpinan negeri dan Persekutuan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah. Isu tuntutan ini tidak seharusnya dipolitikkan atau dibangkitkan berulang kali kerana ia hanya menjejaskan hubungan diplomatik dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Yazid turut menegaskan bahawa pertubuhan masyarakat sivil di peringkat akar umbi akan terus memainkan peranan menyemai semangat cintakan negeri dan negara dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas, tegas dan tidak berkompromi. Sabah adalah tanah air kita yang dibina atas asas keamanan, perpaduan dan kedaulatan yang mesti dipertahankan bersama — dulu, kini dan selamanya bersama Malaysia,” ujarnya.-pr/BNN





