KOTA KINABALU: Kira-kira 60 penasihat, ahli majlis dan ahli Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah meraikan Tahun Baharu Cina dalam suasana penuh mesra dan harmoni, sekali gus mengukuhkan jaringan serta kerjasama perniagaan dalam kalangan ahli.

Majlis yang berlangsung di premis syarikat ahli, MBS Tuning Sdn Bhd, bukan sekadar pertemuan perayaan, sebaliknya menjadi platform mempererat persahabatan dan meneroka peluang baharu, selari dengan semangat perpaduan dan sokongan bersama yang menjadi teras Dewan.

Program itu dianjurkan oleh Ahli Majlis Jawatankuasa Usahawan Wanita (WEC), Victoria Su, dengan sokongan MBS Tuning yang menyediakan lokasi serta menaja minuman. Pemilihan bengkel automotif berprestasi tinggi sebagai lokasi sambutan memberi kelainan, di samping menampilkan imej fasiliti moden yang teratur dan profesional.

Victoria dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Presiden, Datuk Dexter Lau atas kepercayaan dan bimbingan, selain berterima kasih kepada kepimpinan Dewan serta syarikat ahli yang menyokong penganjuran majlis berkenaan.

Sepanjang majlis, ahli bertukar pandangan mengenai perkembangan industri dan trend pasaran semasa, malah beberapa perbincangan awal kerjasama turut dimulakan dalam suasana santai.

Victoria turut memaklumkan Dewan akan menganjurkan Majlis Makan Malam Tahunan bertemakan “Timeless Elegance” pada 25 April ini dengan kapasiti terhad kepada 150 tetamu.

Sementara itu, Dexter Lau menyampaikan angpau kepada hadirin serta menyertai tarian naga tradisional sebagai simbol komitmen kepimpinan menerajui Dewan menghadapi cabaran dan peluang tahun baharu.

Antara yang hadir ialah Penasihat Kehormat Datuk George Lim, Kapitan Dr Callee Tan Kai Lee, barisan naib presiden, ahli majlis serta pemilik MBS Tuning, Ken Fon dan Kevin Tan.

Majlis berakhir dalam suasana penuh muhibah, mencerminkan iltizam ahli untuk terus memperkukuh perpaduan dan memacu pertumbuhan Dewan pada masa depan.-pr/BNN