TENOM: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Tenom tampil menghulurkan bantuan berupa minuman kepada keluarga yang terjejas akibat banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini.
Pengerusi Penyelaras Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Daerah Tenom Stanis Buandi berkata, pihaknya turut bersimpati dengan keadaan banjir teruk yang menyebabkan kerosakan pada rumah kediaman serta tanaman penduduk.
Menurut beliau, sumbangan tersebut adalah sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada mangsa yang berdepan kesukaran selepas bencana berkenaan.
Dalam pada itu, Stanis menyampaikan sumbangan air mineral yang diterima oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tenom di Pejabat Daerah Tenom untuk diagihkan kepada mangsa terlibat.
“Kami berharap sumbangan air mineral ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan, khususnya keluarga yang terjejas akibat banjir,” katanya.
Baru-baru ini, banjir besar melanda Tenom serta beberapa kawasan di Beaufort, mengakibatkan pelbagai kerosakan terhadap kediaman dan harta benda penduduk. -pr/BNN





