KENINGAU: Seramai 45 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari empat sekolah sekitar Bingkor diraikan dalam Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang di Dewan SK Bingkor, pagi kelmarin.

Majlis disempurnakan Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Mohd Ishak Ayub, melibatkan pelajar dari SMK Apin-Apin, SMK Bingkor, SM St. Francis Xavier dan SMK Keningau II.

Pelajar terbaik keseluruhan, Asykal Ilham Azman dari SMK Keningau II, mencatat keputusan cemerlang 10A.

Dalam ucapannya, Ishak berkata kecemerlangan akademik perlu dijadikan asas membina masa depan yang lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga keluarga dan masyarakat.

Beliau turut menegaskan kejayaan pelajar adalah hasil sokongan berterusan guru, ibu bapa serta persekitaran pendidikan yang kondusif.-pr/BNN