KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin meminta Kerajaan memberi perhatian segera kepada banyak perkara asas, khususnya melibatkan keperluan rakyat di kawasan Pedalaman seperti Nabawan.
“Jika kita benar-benar mendengar denyut nadi rakyat di luar dewan ini, kita akan sedar bahawa masih banyak perkara asas yang perlu kita beri perhatian segera, bukan esok bukan lusa, tetapi hari ini,” katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Abdul Ghani merakamkan penghargaan terhadap ucapan dasar kerajaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, yang menurutnya telah menggariskan hala tuju jelas serta menyuntik keyakinan untuk terus berkhidmat dengan lebih berintegriti.
Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas pelancaran pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Mengulas isu pemilikan tanah, Abdul Ghani berkata, masih ramai rakyat di Nabawan yang telah puluhan tahun mengusahakan tanah, namun belum memiliki geran sah.
“Mereka hidup dalam ketidakpastian, takut disingkirkan dan risau masa depan anak-anak. Persoalannya, sampai bila kita mahu membiarkan mereka menunggu?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar proses pengukuran, pengesahan dan pemberian geran tanah dipercepatkan secara menyeluruh dan adil.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu kegagalan sebahagian penduduk di Skim Tanah Nabawan mendapatkan bantuan atau subsidi pertanian, termasuk ada yang dihentikan tanpa penjelasan.
Menyentuh isu infrastruktur, beliau berkata, masalah sistem saliran, sungai cetek serta runtuhan tanah terus berulang setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kampung dilanda banjir, jalan terputus dan kehidupan rakyat terjejas.
“Ini bukan isu baharu, ini isu berulang. Maka saya mohon agar kerja pendalaman, pembersihan dan pelurusan sungai serta naik taraf sistem perparitan dilaksanakan secara menyeluruh dan berjadual,” katanya.
Beliau turut meminta supaya laluan jalan yang terputus akibat hakisan dan runtuhan tanah dibaiki segera oleh pihak bertanggungjawab termasuk syarikat konsesi.
Dalam pada itu, Abdul Ghani menegaskan keperluan mendesak untuk menaik taraf kemudahan asas luar bandar melibatkan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.
Katanya, masih banyak jalan pertanian dan jalan bekas balak di Nabawan yang menjadi laluan utama penduduk tetapi belum dinaik taraf.
“Persoalan saya, bilakah jalan-jalan tersebut akan mula dinaiktaraf dan apakah status pewartaan jalan dalam kawasan hutan simpan di Nabawan?” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempergiat pelaksanaan projek bekalan alternatif seperti tenaga solar di kawasan terpencil serta memperluaskan sistem bekalan air bersih melalui graviti dan telaga tiub.
Dalam sektor pertanian, beliau menekankan kepentingan keterjaminan makanan dengan memberi fokus kepada tanaman padi serta pembangunan hiliran.
“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada hasil mentah semata-mata. Sudah tiba masanya kita memperkasa rantaian nilai pertanian melalui program hiliran,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan meningkatkan sokongan kepada agensi pertanian serta menggalakkan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan pelaksanaan projek lebih tersusun dan terkawal.
Menyentuh pembangunan modal insan, beliau berkata, kawasan pedalaman masih berdepan cabaran besar dari segi akses kepada pendidikan berkualiti, latihan kemahiran dan pendedahan digital.
Katanya, jurang bandar dan luar bandar menyebabkan ramai belia tidak berpeluang menguasai kemahiran TVET dan teknologi semasa, sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan.
“Ramai yang terperangkap dalam pekerjaan berpendapatan rendah atau berhijrah ke bandar, menyebabkan kekurangan tenaga muda untuk memacu pembangunan setempat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa potensi keusahawanan tempatan belum dimanfaatkan sepenuhnya akibat kekangan modal, kurang bimbingan dan kelemahan infrastruktur digital.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar usaha menyeluruh diperkasa bagi meningkatkan kemahiran, memperluas sokongan keusahawanan serta mengangkat ekonomi tempatan ke tahap lebih mampan.-pr/BNN





