KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menyifatkan perbahasan pembangkang sepanjang Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini sebagai hambar dan tidak berwibawa, malah hanya menimbulkan persepsi negatif tanpa asas kukuh.
Beliau berkata, sepanjang empat hari persidangan, pembangkang dilihat masih berada di tahap lama dengan pendekatan retorik yang tidak membantu rakyat, sebaliknya sekadar memburukkan keadaan tanpa membawa penyelesaian konkrit.
“Pembangkang hanya ‘tin kosong’, bunyi kuat tetapi tiada isi. Ini jelas mencerminkan kegagalan mereka sebagai semak dan imbang yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Aksyah mempersoalkan tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang dilihat lantang mendesak kerajaan, walhal ketika mereka memerintah sebelum ini, perkara sama tidak diperjuangkan secara serius.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri ketika ini mengambil pendekatan rundingan profesional bagi memuktamadkan mekanisme bayaran yang adil, selaras dengan keputusan mahkamah serta mengambil kira implikasi kepada Kerajaan Persekutuan.
“Ketika mereka berkuasa, kenapa isu ini tidak disuarakan secara tegas? Kini mereka cuba tampil sebagai juara, sedangkan rekod lalu menunjukkan sebaliknya,” katanya.
Aksyah turut membandingkan pencapaian pentadbiran semasa dengan kerajaan terdahulu, dengan menegaskan peningkatan ketara dalam pemberian khas Persekutuan kepada Sabah.
Katanya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, jumlah pemberian khas meningkat kepada RM600 juta, berbanding hanya RM53.4 juta ketika pentadbiran lalu.
Selain itu, beliau berkata, Sabah kini mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta berjaya menuntut hasil tidak dipertikai berjumlah RM3.019 bilion.
“Ini adalah bukti nyata hasil rundingan dan pentadbiran berkesan, bukan sekadar politik retorik,” katanya.
Menyentuh isu Pulau Sebatik, Aksyah menolak dakwaan pembangkang kononnya berlaku penyerahan wilayah, sebaliknya menegaskan kedaulatan negeri kekal terpelihara.
Beliau berkata, perkara berkaitan sempadan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Luar, dan kerajaan negeri telah memberi jaminan bahawa tiada kompromi terhadap kedaulatan Sabah.
“Pembangkang tidak seharusnya memetik sumber tidak sahih sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik cadangan pembangkang untuk membina empangan di Sungai Segama yang disifatkan tidak praktikal dari sudut geografi dan alam sekitar.
Menurutnya, kawasan hilir sungai berkenaan yang landai dan berpaya tidak sesuai untuk pembinaan empangan kerana berisiko menenggelamkan kawasan luas serta menjejaskan ekosistem.
Sebaliknya, katanya, kerajaan mengambil pendekatan lebih realistik melalui penggunaan Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) sementara menunggu penyelesaian projek grid tenaga.
Mengulas projek Lebuhraya Pan Borneo, Aksyah berkata kemajuan Fasa 1A yang kini mencapai 86.5 peratus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa infrastruktur negeri.
Beliau turut memaklumkan kerajaan meluluskan bantuan ex-gratia sehingga RM20,000 kepada pemilik struktur terjejas, sebagai langkah prihatin terhadap rakyat.
Aksyah berkata, tindakan wakil pembangkang yang sering mencampuri urusan kawasan lain menunjukkan mereka hilang fokus terhadap tanggungjawab sebenar kepada pengundi.
“Rakyat memilih wakil untuk menyuarakan masalah setempat, bukan sibuk mencampuri hal kawasan lain sehingga isu di kawasan sendiri terabai,” katanya.
Sebaliknya, beliau memuji wakil kerajaan yang dilihat lebih berwawasan dan membawa cadangan konstruktif, termasuk usaha memperkasa penjawat awam negeri agar setanding dengan perkhidmatan awam Persekutuan.
Katanya, langkah itu penting bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian serta memperkukuh keupayaan negeri dalam rundingan ekonomi dan dasar antarabangsa.
Aksyah menegaskan kepimpinan Ketua Menteri yang memberi fokus kepada kerja dan hasil berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan negeri, termasuk meningkatkan rizab kewangan selepas mengambil alih pentadbiran dalam keadaan mencabar.
“Memperjuangkan Sabah bukan diukur melalui siapa paling lantang bersuara, tetapi siapa yang mampu menghasilkan keputusan untuk rakyat.
“Rakyat hari ini bijak menilai antara kepimpinan berkesan dan retorik kosong,” katanya.-pr/BNN





