KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara menunggu pemuktamadan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan disifatkan sebagai satu langkah signifikan yang mencerminkan komitmen berterusan terhadap tuntutan negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mengulas pengumuman itu, Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said berkata, langkah berkenaan wajar dihargai kerana menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan hak Sabah terus diberi perhatian dan dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan dalam memperjuangkan hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam MA63.
“Pengumuman ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada rakyat Sabah, malah membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kesungguhan politik yang jelas untuk menyelesaikan isu berkaitan hak negeri ini secara adil dan bertanggungjawab.
“Sebagai rakyat Sabah, kita menghargai kenyataan tegas Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan adalah satu dasar yang mesti dilaksanakan, dan kini hanya menunggu mekanisme serta kaedah pelaksanaannya dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jerry berkata, peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion merupakan satu langkah yang amat bermakna dalam membantu memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta mempercepatkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya, bayaran interim tambahan itu berpotensi membantu kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas termasuk bekalan air bersih, jalan raya, jambatan, pendidikan, kesihatan serta pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar.
Beliau berkata, rakyat Sabah sememangnya mengharapkan agar proses rundingan yang sedang berlangsung antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat demi memastikan pelaksanaan hak berkenaan dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Pendekatan rundingan secara terperinci yang sedang dilaksanakan menunjukkan kerajaan mahu memastikan setiap keputusan dibuat secara teliti, berhemah dan mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Pada masa sama, kita juga perlu mengiktiraf pelbagai usaha yang telah dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan peruntukan pembangunan, bantuan serta subsidi kepada Sabah bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan pembangunan negeri,” katanya.
Jerry turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang mengalu-alukan pengumuman bayaran interim RM1.5 bilion itu serta menyifatkannya sebagai satu langkah penting demi manfaat rakyat Sabah.
Menurutnya, pendirian yang ditunjukkan Hajiji mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan hak-hak Sabah di bawah MA63 terus diperjuangkan melalui pendekatan kerjasama yang konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan.
“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas usaha berterusan beliau bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dalam memperjuangkan kepentingan Sabah serta memastikan isu berkaitan MA63 sentiasa diberi perhatian di peringkat tertinggi.
“Kenyataan Ketua Menteri yang mengalu-alukan bayaran interim ini dan kesediaan Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan membuktikan bahawa hubungan baik antara kedua-dua pihak sedang menghasilkan perkembangan positif yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan segala agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi manfaat rakyat.
Jerry berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri bersama kesungguhan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji dalam memperjuangkan pelaksanaan MA63 memberi keyakinan bahawa isu pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah akan dapat dimuktamadkan menerusi semangat kerjasama, persefahaman dan hormat antara kedua-dua kerajaan.
Beliau turut berharap bayaran interim yang diumumkan itu dapat disalurkan dalam tempoh terdekat seperti yang diharapkan oleh kerajaan negeri agar manfaatnya dapat segera dirasai rakyat, khususnya dalam pelaksanaan projek pembangunan dan penyediaan kemudahan asas di seluruh Sabah.
“Rakyat Sabah mahu melihat hasil rundingan ini diterjemahkan kepada pembangunan yang lebih pesat, peluang ekonomi yang lebih luas dan peningkatan kesejahteraan hidup masyarakat di bandar serta luar bandar.
“Semoga komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ketika ini menjadi pemangkin kepada penyelesaian menyeluruh berkaitan tuntutan MA63 serta membuka lembaran baharu yang lebih progresif dalam hubungan antara Sabah dan Persekutuan,” katanya.-pr/BNN





