TAMBUNAN : Asal usul keturunan penentu kejayaan dalam akademik tetapi adalah sikap, usaha dan komitmen yang tinggi.

Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut berkata, bersungguh untuk berjaya juga tidak akan berhasil tanpa usaha gigih, belajar dan disiplin diri yang tinggi.

“Majlis seperti ini bukan sekadar untuk kita menyampaikan sijil atau penghargaan. Lebih daripada itu, ia adalah simbol pengiktirafan terhadap usaha dan kecemerlangan anak-anak Tambunan.

Kita mahu menghantar mesej yang jelas bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah kehidupan, mengangkat martabat keluarga dan membangunkan masyarakat,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM Daerah Tambunan bagi tahun 2025 di Dewan Masyarakat Tambunan pada Sabtu.

Sebagai pemimpin masyarakat di Tambunan katanya, beliau percaya bahawa pelaburan terbaik yang boleh dilakukan ialah pelaburan dalam pendidikan.

“Bangunan boleh dibina, jalan raya boleh diperbaiki, tetapi modal insan yang berkualiti adalah aset yang paling berharga untuk masa depan daerah ini.

Anak-anak yang berada di hadapan saya pada petang ini adalah bakal doktor, jurutera, guru, saintis, pegawai kerajaan, usahawan dan pemimpin masa depan.

Mungkin dalam kalangan anda terdapat bakal Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, pegawai daerah atau pemimpin yang akan menerajui Tambunan dan Sabah suatu hari nanti,” katanya.

Oleh yang demikian katanya lagi, jangan sesekali merasa bahawa anak-anak yang berasal dari kawasan luar bandar mengekang dan menghadkan impian untuk berjaya.

“Penghargaan juga kepada para ibu bapa kerana kejayaan anak-anak pada hari ini adalah hasil pengorbanan para ibubapa yang tidak ternilai harganya.

Ada yang bangun awal pagi mencari rezeki, ada yang mengorbankan keselesaan demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik.

Begitu juga kepada para guru semua, di sebalik setiap pelajar cemerlang, pasti ada guru yang tidak pernah jemu membimbing, mengajar dan memberi inspirasi.

Sesungguhnya jasa guru tidak dapat dibalas dengan wang ringgit,” ujarnya lagi.

Jelasnya, sebagai sebuah parti yang lahir dari aspirasi rakyat Sabah, PGRS sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan dan modal insan kerana beliau percaya bahawa masa depan Sabah

bergantung kepada sejauh mana kita berjaya melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

“Atas sebab itu, kita akan terus menyokong program-program yang memberi manfaat kepada pelajar, belia dan institusi pendidikan.

Kita mahu memastikan bahawa anak-anak Tambunan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan mempunyai peluang yang sama untuk berjaya,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd.

Beliau turut berpesan kepada para pelajar bahawa kejayaan yang dikecapi hari ini juga datang bersama tanggungjawab.

“Gunakan ilmu yang diperoleh untuk membantu keluarga, membangunkan masyarakat dan menyumbang kepada negeri Sabah yang kita cintai. Apabila anda berjaya suatu hari nanti, jangan lupa kampung halaman.

Jangan lupa sekolah yang mendidik anda. Jangan lupa guru yang membimbing anda dan jangan lupa masyarakat yang sentiasa mendoakan kejayaan anda.

Anak-anak Tambunan harus menjadi contoh bahawa kawasan luar bandar mampu melahirkan insan-insan hebat yang boleh bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya lagi.

Turut hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan, Tuan Johari Awang Damit, Timbalan Ketua Bahagian PGRS Tambunan, En. Yassin bin Yunus, Ketua Wanita PGRS Bahagian Tambunan, Datuk Hajjah Amelia Ajun, Ketua Beliawanis PGRS Bahagian Tambunan, Puan Vianney Evana, barisan Ahli Jawatankuasa PGRS Bahagian Tambunan, Pengetua-pengetua sekolah SMK Tambunan, SM St. Martin, SMK Nambayan dan SMK Desa Wawasan, serta guru-guru, dan para ibu bapa pelajar yang terlibat.-pr/BNN