KOTA KINABALU: Negeri Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 5.9 peratus kadar penagih dan penyalah guna dadah atau bahan bagi tahun 2025. Berdasarkan statistik, seramai 9,207 orang dikesan pada tahun 2024 menurun kepada 8,665 orang pada tahun 2025.

Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan kadar penagih dan penyalah guna dadah serta bahan seramai 230 orang bagi setiap 100,000 penduduk sekaligus meletakkan Sabah di kedudukan terbaik dalam negara bagi tahun 2025.

Kejayaan itu adalah bukti nyata keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di Negeri Sabah.

Perkara tersebut dinyatakan ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, di sini hari ini.

Bagi memastikan momentum ini berterusan ke arah sasaran Dadah Terkawal 2030, mesyuarat MTMD ini turut meluluskan dua kertas pertimbangan iaitu Perluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Sektor Awam Negeri Sabah dan Pemerkasaan SKUAD Antidadah Membangun Komuniti Berdaya Tahan yang dibentang oleh AADK dan SKUAD Antidadah Negeri Sabah.

Usaha ini adalah langkah-langkah strategik baharu bagi membangunkan komuniti yang mempunyai daya tahan tinggi sekali gus menyebarluas kempen pendidikan pencegahan dan kesedaran awam mengenai bahaya penyalahgunaan dadah atau bahan dalam kalangan masyarakat di Negeri Sabah.

Sebagai langkah proaktif di peringkat lokaliti, AADK menzahirkan penghargaan tinggi kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan penuh terhadap pelaksanaan Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) yang kini memfokuskan kepada dua lokasi rintis di Sabah iaitu:

Kampung Likas, Kota Kinabalu

Kampung Benoni, Papar

Inisiatif intervensi komuniti ini turut diperkuatkan lagi melalui pemerkasaan Program SKUAD Antidadah Bersatu Lawan Najis Dadah, yang membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan komuniti setempat.

Disamping itu juga, AADK kini giat menggerakkan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di peringkat nasional. Program berskala besar yang telah diluncurkan oleh Ketua Menteri Sabah pada 16 Februari lepas ini menggunakan model kitaran tindakan strategik dua hala iaitu pendekatan “Top-Down” (Pihak Atasan ke Bawah) dan “Bottom-Up” (Akar Umbi ke Atas).

Pendekatan hibrid ini bertujuan memobilisasikan komuniti secara total, sekali gus membina benteng pertahanan sosial bermula dari institusi keluarga bagi mengurangkan kebergantungan serta permintaan terhadap dadah atau bahan.

AADK menaruh keyakinan tinggi bahawa komitmen padu yang ditunjukkan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah akan menghasilkan keputusan yang konstruktif, praktikal, dan berimpak tinggi demi memastikan negeri Sabah dan Malaysia amnya bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara.-pr/BNN