KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 5.9 peratus dalam jumlah penagih dadah yang dikesan pada tahun 2025, dengan 8,665 kes berbanding 9,607 kes pada tahun 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata Sabah turut merekodkan kadar terbaik di negara ini tahun lalu dengan 230 penagih dan penyalah guna bahan bagi setiap 100,000 penduduk.
“Ini membuktikan keberkesanan usaha bersepadu yang dilaksanakan oleh semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di Sabah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sabah di Menara Kinabalu pada Isnin.
Ketua Menteri turut merakamkan tahniah kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atas usaha memperkasa komuniti di pelbagai peringkat menerusi program pencegahan dadah berasaskan akar umbi.
“Saya menghargai komitmen AADK yang berjaya mendekati masyarakat di Pulau Banggi, Kudat baru-baru ini melalui Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dengan kerjasama program SKUAD Antidadah Dua Roda,” katanya.
Beliau juga memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah atas kejayaan rampasan dadah berskala besar yang dilaksanakan baru-baru ini menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah.
“Ini mencerminkan kesungguhan pihak polis dalam membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini yang terus diberi keutamaan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah.
“Semua pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan dalam memerangi ancaman dadah yang masih menjadi musuh nombor satu negara,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri kekal komited menyokong usaha menyeluruh bagi membanteras gejala dadah serta memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara.
“Dalam merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri akan terus menyokong segala usaha ke arah mewujudkan masyarakat bebas dadah dan mencapai agenda Dadah Terkawal 2030,” katanya.
Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MTMD Sabah ialah peluasan program tempat kerja bebas dadah dalam sektor awam negeri serta pemerkasaan SKUAD Antidadah Negeri Sabah. -pr/BNN





