KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu mesti terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan dan kerjasama antara parti-parti tempatan Sabah.
Beliau berkata, usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti-parti tempatan Sabah selaras dengan semangat Sabah First yang menjadi antara perjuangan utama parti itu.
“Jadi biar kita mulakan dan Kadamaian harus menyumbang kepada perpaduan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah.
“Saya ingin melihat keseluruhan jentera UPKO di Kota Belud, khususnya di Kadamaian, semua cawangan dan ahli kita menyumbang kepada perpaduan parti-parti tempatan Sabah. Inilah yang kita sebut sebagai Sabah First,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Kota Belud di Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah berkata, parti-parti tempatan perlu mengelakkan budaya menyerang sesama sendiri dan sebaliknya memperkukuh kerjasama demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah.
“Jangan kita hantam parti-parti tempatan Sabah yang lain, sebaliknya kita bekerjasama.
“Mudah-mudahan apabila itu berlaku, Kadamaian lebih mudah dibangunkan, Kota Belud lebih mudah dipertahankan dan Sabah lebih mudah untuk kita jaga,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman lalu menunjukkan masih terdapat cabaran dalam memperkukuh kesepakatan politik Sabah, termasuk dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan negeri di peringkat nasional.
“Kita ambil iktibar apa yang berlaku sebelum ini. Hanya kerana kita berada dalam gabungan nasional, ada parti-parti di Kuala Lumpur yang tidak menyokong perkara berkaitan Sabah.
“Ini boleh berlaku jika kita tidak menguatkan gabungan parti-parti tempatan Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa keputusan UPKO memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat atas hasrat untuk memperkukuh gabungan parti-parti tempatan di negeri ini.
“Pada 29 Mei lalu, kita telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS untuk UPKO menjadi parti komponen.
“Niat kita adalah untuk menjadikan GRS kuat sebagaimana Gabungan Parti Perikatan Sabah pada tahun 1963,” katanya.
Beliau berkata, ramai pemimpin dalam GRS pernah melalui pengalaman berada dalam parti-parti nasional dan memahami cabaran yang dihadapi Sabah dalam memperjuangkan hak serta kepentingannya.
“Kita mesti menyumbang kepada kekuatan parti-parti tempatan melalui pimpinan Ketua Menteri. Sebab itu kita memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.
Ewon bagaimanapun menegaskan penyertaan UPKO dalam GRS tidak akan mengurangkan peranan parti itu dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan rakyat dan negeri Sabah.
“Penyertaan kita dalam GRS tidak mengurangkan kelantangan kita dalam menyuarakan pelbagai isu yang kita perjuangkan selama ini.
“Ia juga tidak mengecilkan peranan kita sebagai sebuah parti politik di negara ini, khususnya di Sabah,” katanya.
Ewon berkata fokus utama UPKO adalah untuk melihat Sabah dipimpin oleh parti-parti tempatan yang mampu berdiri sama kuat dan setara dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.
“Fokus utama kita ialah bagaimana Sabah dipimpin oleh parti-parti tempatan Sabah pada masa akan datang.
“Ini penting supaya kita boleh berdiri sama kuat dengan Sarawak dan sama tegas dengan rakan-rakan kita di Semenanjung,” katanya.
Menurut beliau, penyertaan UPKO dalam GRS juga diyakini mampu menyumbang kepada usaha memperkukuh kerajaan negeri serta menghadapi pilihan raya akan datang dengan lebih mantap.
“Bukankah hasrat kita mahu melihat gabungan parti-parti tempatan Sabah bertanding di semua kawasan pada pilihan raya?
“Inilah fokus kita, menguatkan gabungan parti-parti tempatan Sabah bermula dengan penyertaan kita dalam GRS,” katanya.-pr/BNN





