KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa gerakan koperasi di Sabah supaya berani melaksanakan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang mampu mewujudkan nilai tambah kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri.

Beliau berkata, dalam landskap ekonomi dan teknologi yang semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata, sebaliknya perlu terus berinovasi bagi kekal berdaya saing dan mampan.

Menurutnya, transformasi perniagaan akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota serta pelanggan, dan memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa.

“Kerajaan Negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuh tadbir urus, memperluaskan aktiviti perniagaan dan berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.

“Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri sekiranya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-49 Koperasi Kakitangan Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, KOPEKS wajar dijadikan contoh kerana berani melakukan transformasi daripada hanya menjalankan perniagaan kredit kepada pelbagai sektor strategik berpotensi tinggi termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu, penjagaan kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan, aktiviti import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti.

Katanya, penerbitan Kinabalu Media membuktikan komitmen KOPEKS dalam memperkukuh budaya ilmu dan menyediakan platform penyebaran maklumat yang sahih kepada masyarakat, di samping menyumbang kepada industri akhbar Sabah.

“Dalam era media digital yang berkembang pesat ini, penerbitan bercetak masih memainkan peranan penting dalam menyediakan laporan yang lebih mendalam, analisis berkualiti dan dokumentasi pelbagai isu semasa.

“Kerajaan Negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negeri dan memperkukuh perpaduan rakyat, termasuk menjayakan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.

Mengenai penglibatan KOPEKS dalam sektor kesihatan, Hajiji berkata langkah koperasi itu mengambil alih beberapa klinik swasta membolehkan anggota menikmati rawatan pada kadar berpatutan, sekali gus membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengalu-alukan perancangan KOPEKS untuk menubuhkan pusat dialisis memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan itu terus meningkat dengan jumlah pesakit buah pinggang di Sabah kini melebihi 2,000 orang.

Katanya, Kerajaan Negeri sendiri telah menyumbangkan 100 mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada 23 hospital kerajaan dan dua klinik kesihatan di seluruh Sabah pada 2024 bagi meningkatkan akses rawatan kepada rakyat.

“Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan itu menawarkan caj yang berpatutan bagi membantu mengurangkan beban pesakit,” katanya.

Hajiji berkata, penglibatan KOPEKS dalam aktiviti import dan eksport, khususnya dengan Brunei Darussalam, merupakan strategi yang baik untuk membuka peluang perdagangan rentas sempadan, memperluaskan pasaran produk tempatan dan mengukuhkan jaringan kerjasama serantau.

Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif dan mampan demi manfaat seluruh rakyat Sabah.

Sementara itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan KOPEKS atas prestasi keuntungan yang memberangsangkan pada 2025 serta kejayaan mengekalkan pembayaran dividen kepada anggota secara konsisten sepanjang 20 tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan kecekapan tadbir urus dan pengurusan kewangan koperasi, sekali gus membolehkan anggota terus menikmati manfaat yang disediakan.

Pada masa sama, beliau menggesa lebih ramai penjawat awam, khususnya golongan muda, menyertai KOPEKS bagi memperkukuh kedudukannya sebagai koperasi contoh yang bukan sahaja membangunkan ekonomi anggota tetapi turut menyumbang kepada kemajuan keseluruhan Sabah.-pr/BNN