KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menghargai kerjasama, kesatuan dan sokongan berterusan penduduk Kampung Kiau Taburi dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan serta inisiatif pembangunan di kampung itu.

Beliau berkata, semangat kebersamaan yang ditunjukkan penduduk kampung merupakan antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan di kawasan itu.

“Saya menghargai kesatuan, kerjasama dan kebersamaan penduduk dalam menjayakan sambutan ini serta inisiatif-inisiatif pembangunan yang dilaksanakan.

“Saya mendoakan agar semangat ini dapat diteruskan dan seluruh penduduk terus diberkati dengan kesihatan, kesejahteraan serta kejayaan,” katanya ketika menyempurnakan Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Kiau Taburi di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyampaikan sumbangan Touchpoint ADUN berjumlah RM23,000 bagi menyokong pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu..

Beliau turut bersetuju menyediakan peruntukan bagi menaik taraf beberapa jalan dan parit di kawasan perumahan kampung tersebut bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Cement Industries Sabah (CIS) Sdn Bhd kepada Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau 1.

Menurutnya, sumbangan itu akan digunakan bagi melaksanakan Program Majlis Kecemerlangan Akademik sebagai usaha menyokong peningkatan pencapaian pendidikan pelajar di kawasan berkenaan.-pr/BNN