KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah semalam  telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Hamdin Nordin berhubung beberapa hantaran yang dimuat naik pada atau sekitar 1 Julai 2026.

Laporan tersebut dibuat susulan dakwaan bahawa individu berkenaan telah menerbitkan kenyataan yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, dengan tindakan mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia menghalang kemasukan seorang aktivis, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, ke negeri Sabah.

Menurut Wanita Gagasan Rakyat Sabah, dakwaan tersebut merupakan tuduhan yang serius, dipercayai tidak berasas dan berpotensi mengelirukan masyarakat, sekali gus boleh menjejaskan nama baik serta reputasi Ketua Menteri Sabah.

Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah diwakili Exco Wanita Julia Datuk Ahmad Bahrom Titingan dan Masturah Jamrah di sertai dua ahli wanita Gagasan Rakyat Sabah.

Selain itu, pihaknya turut membangkitkan satu lagi hantaran yang dimuat naik oleh individu sama yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, yang ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah, dengan watak Abu Jahal melalui satu kenyataan yang dianggap menghina dan memperlekehkan beliau dalam konteks keseluruhan hantaran tersebut.

Wanita Gagasan Rakyat Sabah berpandangan bahawa kedua-dua hantaran berkenaan berpotensi menimbulkan kebencian terhadap Ketua Menteri Sabah, mencemarkan reputasi beliau serta boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam sekiranya tidak ditangani mengikut saluran undang-undang.

Sehubungan itu, laporan polis dibuat bagi memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap perkara tersebut di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk sekiranya wujud unsur fitnah, penyebaran maklumat palsu, komunikasi jelik atau apa-apa kesalahan lain yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Wanita Gagasan Rakyat Sabah turut menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dengan memastikan setiap kenyataan yang disebarkan adalah berasaskan fakta serta tidak menimbulkan fitnah, kebencian atau perpecahan dalam kalangan masyarakat.-pr/BNN