PUTRAJAYA: Hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip telah diluluskan tambahan kuota 100 liter diesel bersubsidi sebulan di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), menjadikan jumlah kelayakan mereka meningkat kepada 300 liter sebulan bermula Julai 2026.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga 4 Julai lalu, kelulusan itu melibatkan lebih 174,000 warganegara di Semenanjung Malaysia serta lebih 22,000 warganegara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut kementerian, kemudahan tambahan itu disediakan bagi mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik pikap dan jip, termasuk untuk kegunaan perniagaan kecil dan sederhana serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memahami bahawa kenderaan diesel jenis itu bukan sekadar digunakan untuk perjalanan harian, malah menjadi sumber mencari rezeki serta mengurus keperluan keluarga.
“Justeru, kemudahan tambahan 100 liter ini disediakan bagi membantu mereka mengurus keperluan diesel bulanan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil maklum maklum balas rakyat berhubung penggunaan kenderaan diesel milik ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikannya.
Katanya, bagi kenderaan diesel persendirian yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat berbeza daripada pemilik berdaftar, penerima asal BUDI Diesel boleh memohon pemindahan kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat dan pengesahan ditetapkan.
Sebagai alternatif, pengguna sebenar juga boleh mengemas kini rekod pemilikan kenderaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan kerajaan memberi pengecualian fi pertukaran hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026.
Menurut beliau, penambahbaikan itu membuktikan pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan disesuaikan berdasarkan maklum balas rakyat supaya manfaat subsidi disalurkan kepada penerima yang layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan serta penyeludupan.
Setakat 4 Julai, lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima melalui portal BUDI MADANI.
Dalam perkembangan sama, kementerian memaklumkan pelaksanaan BUDI Diesel menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan kewarganegaraan dan kelayakan bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia yang layak.
Sejak pelaksanaan akses awal BUDI Diesel pada 27 Jun hingga 4 Julai lalu, lebih 336,000 transaksi diesel bersubsidi direkodkan membabitkan pembelian sebanyak 12.6 juta liter diesel, dengan kerajaan menanggung subsidi melebihi RM23 juta.
Jualan itu melibatkan pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter semasa akses awal dan RM2.10 seliter selepas pelaksanaan penuh BUDI Diesel bermula 1 Julai.
Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin serta mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak layak.
Beliau menegaskan pelaksanaan BUDI Diesel bukan bertujuan menafikan bantuan kepada rakyat yang layak, sebaliknya memastikan subsidi kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar di samping mengekang ketirisan dan penyeludupan yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara setiap tahun.
Katanya, Kerajaan MADANI akan terus memantau pelaksanaan program itu serta meneliti maklum balas rakyat dan industri bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada golongan yang layak, bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan ketirisan terus dapat dibendung.-pr/BNN





