PASIR GUDANG: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menyeru warga Sabah yang menetap dan bekerja di Johor agar terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor akan datang demi memastikan kestabilan negeri terus terpelihara.
Beliau berkata, kestabilan politik Johor amat penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negeri, menarik pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.
Berucap dalam Program Santai Bersama Pengundi Sabah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tasek Seri Alam dan kawasan flat berhampiran di Bandar Seri Alam hari ini, Salleh berkata Johor sejak sekian lama merupakan antara pusat ekonomi utama negara yang telah menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada ribuan warga Sabah yang menjadikan negeri itu sebagai tempat mencari rezeki dan membina kehidupan.
Menurut beliau, kestabilan politik Johor selama ini memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan, mengembangkan sektor industri dan membuka peluang pekerjaan berkualiti yang memberi manfaat kepada ramai rakyat termasuk warga Sabah.
“Johor telah menyediakan sumber rezeki dan pelbagai peluang kepada ramai anak Sabah. Kerajaan yang stabil amat penting bagi memastikan negeri ini terus maju, menarik pelaburan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga Sabah yang merupakan pengundi berdaftar di Johor agar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dengan keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada BN dalam pilihan raya negeri akan datang.
Tambah beliau, kestabilan politik yang berterusan akan membantu Johor mengekalkan momentum ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan demi manfaat semua lapisan masyarakat termasuk komuniti Sabah di Johor.
Salleh turut merakamkan penghargaan kepada warga Sabah di Johor atas sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi negeri dan berharap mereka akan terus menyokong dasar-dasar yang menekankan kestabilan, pembangunan dan kemakmuran bersama.-pr/BNN





