PUTATAN: Usaha berterusan kerajaan dan masyarakat umum dalam memupuk bakat qari dan qariah (pembaca Al-Quran) cilik mampu melahirkan generasi celik Al-Quran di masa hadapan di Sabah dan Putatan secara amnya.

Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pendedahan sejak akar umbi melibatkan asas tajwid, teknik taranum dan bacaan Al-Quran itu bukan sahaja mekanisme berkesan malah meningkatkan budaya Islamik di kalangan umat Islam.

Tambahnya, kerajaan dalam pada itu menggesa pembabitan secara langsung komuniti atau persatuan lebih meluas supaya usaha tersebut dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

“Program memupuk masyarakat celik Al-Quran adalah langkah murni untuk kita sebagai umat Islam dan pada masa sama meningkatkan ketakwaan kita kepada agama.

“Sehubungan itu, pendekatan holistik melibatkan kerjasama kerajaan dan orang awam dalam pembabitan program celik Al-Quran amat positif selain dapat melahirkan pelapis qari atau qariah di negara ini, “katanya.

Shahelmey berkata demikian selepas program Pertandingan Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak anjuran KRT Tanjung Aru Lama di Tanjung Aru, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, dalam program berkenaan, seramai lapan kanak-kanak di sekitar komuniti Tanjung Aru menyertai Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak tersebut.-pr/BNN