KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran meneliti semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel menerusi Program BUDI di Sabah dengan pendekatan lebih fleksibel bagi memastikan rakyat yang benar-benar layak, khususnya di kawasan pedalaman, tidak tercicir daripada menikmati bantuan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata pelaksanaan subsidi itu perlu mengambil kira realiti kehidupan masyarakat luar bandar yang berdepan cabaran bentuk muka bumi, akses terhad kepada stesen minyak serta capaian internet yang masih belum menyeluruh.
Beliau berkata, di kawasan pedalaman seperti Nabawan, penggunaan kenderaan pacuan empat roda, jentera pertanian dan enjin diesel bukan satu kemewahan, sebaliknya keperluan harian untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian.
“Amalan berkongsi penggunaan kenderaan dalam keluarga juga lazim berlaku. Ada kenderaan digunakan oleh petani untuk mengangkut hasil pertanian tetapi didaftarkan atas nama ahli keluarga lain yang bekerja di bandar.
“Justeru, mekanisme subsidi perlu mengambil kira situasi sebenar masyarakat pedalaman agar mereka tidak terjejas akibat syarat yang terlalu ketat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, hari ini.
Abdul Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) berkata, usaha mengekang ketirisan subsidi adalah wajar, namun rakyat yang mematuhi undang-undang tidak seharusnya dibebankan dengan pelbagai syarat untuk mendapatkan bantuan berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan peranan agensi penguat kuasa dalam membanteras penyeludupan dan penyalahgunaan diesel bersubsidi supaya tindakan terhadap ketirisan tidak menjejaskan golongan sasaran.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu kelewatan beberapa projek pembangunan infrastruktur di Nabawan yang masih belum menunjukkan kemajuan memuaskan.
Katanya, antara projek yang menjadi perhatian rakyat ialah Projek Jambatan Sungai Pancuran yang sebelum ini dilaporkan berdepan masalah peruntukan bagi kerja pengalihan utiliti, selain pembinaan Jambatan Jalan Kraftangan yang didakwa mengalami kelewatan.
Beliau berkata, projek pembinaan bangunan baharu Mahkamah Anak Negeri Nabawan juga perlu diberikan perhatian kerana institusi itu memainkan peranan penting dalam memelihara adat, budaya dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di kawasan pedalaman.
Pada masa sama, Abdul Ghani meminta kerajaan memperketat pemantauan terhadap syarikat konsesi dan kontraktor yang bertanggungjawab menyelenggara jalan raya bagi memastikan kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi dan berkualiti.
Beliau turut menggesa kerajaan mempertimbangkan pembinaan laluan motosikal menghubungkan Kampung Sinapar ke Kampung Saliliran dan seterusnya ke Kampung Kabu yang sehingga kini masih belum mempunyai jalan perhubungan walaupun selepas lebih enam dekad negara mencapai kemerdekaan.
Selain itu, beliau memohon tambahan peruntukan bagi penyelenggaraan sungai, anak sungai, jalan bekas balak dan jalan pertanian di Nabawan yang sering rosak ketika musim hujan sehingga menjejaskan usaha penduduk membawa hasil pertanian ke pasaran.
Menyentuh pembangunan daerah, beliau meminta penjelasan mengenai status cadangan pembinaan Pekan Baharu Nabawan yang disifatkan mampu merancakkan sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil di kawasan berkenaan.
Abdul Ghani turut menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada peningkatan kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman, termasuk penyediaan capaian internet yang lebih baik, bekalan elektrik stabil dan infrastruktur pembelajaran yang mencukupi bagi memastikan anak-anak Sabah menikmati peluang pendidikan yang setara.-pr/BNN




