PENGHARGAAN: Roimon (tujuh kanan) menyerahkan sumbangan kepada Jovett sambil disaksikan oleh tenaga pengajar SMAG.

KOTA MARUDU: Sekolah Menengah Advent Goshen (SMAG) melakar sejarah apabila atletnya, Jovett Heaven Jonis, muncul pelajar pertama sekolah itu meraih pingat emas pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS), sekali gus mencipta pencapaian terbesar dalam sejarah penyertaan sekolah berkenaan.

Jovett mencipta kejayaan membanggakan itu selepas menjuarai acara 200 meter lari berpagar pada Kejohanan MSSS Sabah 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Ranau, sekali gus menghadiahkan pingat emas sulung kepada SMAG sejak penubuhannya.

Bagi menghargai kejayaan bersejarah itu, pihak sekolah mengadakan majlis penyampaian sijil, pingat dan sumbangan penghargaan sempena perhimpunan chapel sekolah, baru-baru ini.

Pengetua SMAG, Roimon Kumin, bersama barisan guru menyampaikan penghargaan kepada Jovett sebagai pengiktirafan terhadap disiplin, ketekunan dan semangat juangnya sepanjang menjalani latihan dan pertandingan.

Sebagai tanda sokongan terhadap kecemerlangan pelajar, warga guru turut mengumpulkan sumbangan sebanyak RM580, manakala Roimon menyumbang RM500, menjadikan jumlah keseluruhan penghargaan RM1,080.

Roimon berkata, kejayaan Jovett membuktikan pendekatan pendidikan holistik yang diterapkan sekolah mampu melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah dalam bidang kokurikulum dan sukan.

Katanya, nilai disiplin, ketabahan, integriti dan semangat berpasukan yang diterapkan di sekolah menjadi asas penting dalam membentuk pelajar berdaya saing dan berakhlak.

Beliau berharap pencapaian itu menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar SMAG untuk mencipta kecemerlangan pada masa depan.

Katanya, kejayaan Jovett bukan sekadar menambah koleksi pingat sekolah, malah membuka lembaran baharu dalam sejarah SMAG serta menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah bahawa usaha gigih, disiplin dan keberanian mampu membawa kejayaan di peringkat tertinggi.-BNN